SHAH ALAM, 11 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat kepada 985 orang daripada 275 keluarga yang masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor setakat jam 10 pagi ini.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), angka itu menunjukkan pertambahan 51 mangsa dan 12 keluarga berbanding 934 mangsa daripada 263 keluarga yang direkodkan malam tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela, SK Parit Mahang, Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching, Sekolah Agama Batu 8 Ijok dan SK Jaya Setia.
Kuala Selangor kekal sebagai satu-satunya daerah di Selangor yang merekodkan mangsa banjir di PPS berdasarkan kemas kini berkenaan.
Sementara itu, jumlah mangsa tanah runtuh di Gombak kekal 20 orang daripada lima keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Kenanga.
Tiada perubahan direkodkan bagi jumlah PPS yang dibuka susulan kejadian tanah runtuh itu.
Di Perak, seramai 381 mangsa banjir daripada 109 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka di dua daerah setakat jam 10 pagi ini.










