Banjir Kuala Selangor dijangka surut, pintu air dibuka petang ini

13 Nov 2026, 4:51 AM
Banjir Kuala Selangor dijangka surut, pintu air dibuka petang ini
Banjir Kuala Selangor dijangka surut, pintu air dibuka petang ini
Banjir Kuala Selangor dijangka surut, pintu air dibuka petang ini

SHAH ALAM, 13 NOV: Banjir di beberapa kawasan sekitar Kuala Selangor dijangka surut dalam masa terdekat susulan pembukaan pintu kunci air mulai petang ini bagi membolehkan air bertakung disalirkan ke laut.

Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata keputusan itu dibuat selepas keadaan cuaca semakin baik dan tiada hujan petang semalam.

“Sebelum ini pintu ditutup bagi mengelakkan kejadian banjir besar. Petang ini kunci air akan dibuka selepas melihat keadaan cuaca yang semakin baik.

“Setakat pagi ini, keadaan banjir di sekitar Kuala Selangor agak tenang sebab tiada hujan petang semalam. Pintu air dijangka dibuka petang ini membolehkan air bergenang atau menenggelamkan beberapa kawasan surut.

“Jadi sebahagian penduduk yang mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, selepas air surut,” katanya kepada Media Selangor.

Samsol berkata setakat pagi ini, enam PPS masih dibuka menempatkan 302 mangsa termasuk 25 warga emas serta tujuh orang kelainan upaya (OKU).

“Penambahan mangsa banjir malam tadi melibatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang selepas 19 rumah di Taman Desa Mahang dinaiki air. Hanya kawasan ini terjejas akibat hujan semalam,” katanya.

Lima lagi PPS yang masih dibuka ialah PPS SK Dato’ Maharaja Lela, Sekolah Rendah Agama (SRA) Ijok, SRA Bukit Kuching, Dewan Komuniti Penyayang Kampung Tanjung Siam dan Kafa Integrasi Al Hidayah Kampung Bukit Kuching.

Kelmarin Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan sembilan kawasan di Kuala Selangor menjadi tumpuan langkah mitigasi banjir menerusi kerja penyelenggaraan saliran, pengoperasian pam dan pembaikan kolam takungan.

Menurut agensi, daerah itu merekodkan jumlah lokasi terjejas paling banyak susulan hujan lebat dengan bacaan antara 51.5 hingga 114.5 milimeter pada 5 hingga 7 November lalu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.