SHAH ALAM, 28 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat kepada 3,967 orang daripada 1,094 keluarga malam ini, berbanding 3,310 daripada 798 keluarga petang tadi.
Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah terjejas iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Sementara itu, Ribut Tropika Senyar yang melanda pesisir barat Semenanjung awal pagi tadi, dilaporkan sudah tiada di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tersebut boleh dikatakan sudah ‘mati’ dan kesannya yang tinggal cuma hujan sahaja.
Semalam, MetMalaysia memberi amaran bahawa Selangor, Perak dan sebahagian Pahang berpotensi terkesan akibat ribut Senyar dengan kelajuan angin mencecah 50 km/j, selain membawa hujan lebih 200mm dalam tempoh 24 jam.
Ribut Tropika Senyar merupakan kejadian pertama seumpamanya direkodkan terbentuk di perairan Selat Melaka, sekali gus meningkatkan risiko cuaca buruk dan hujan berterusan di negeri terlibat.
Susulan itu, Kerajaan Negeri meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman ribut tropika, dengan keselamatan rakyat menjadi keutamaan memandangkan negeri berdepan fenomena ini buat kali pertama dalam sejarah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sejumlah 1,173 PPS telah dikenal pasti dan bersiap siaga untuk menampung sehingga 244,000 penduduk di seluruh negeri.
Bagi mempercepat gerak kerja bantuan, sebanyak 344 jentera termasuk kenderaan pacuan empat roda dan lori muatan berat serta 227 bot ditempatkan di lokasi strategik seluruh negeri bagi tujuan penghantaran bantuan, pemindahan mangsa dan operasi mencari serta menyelamat.


