Projek tebatan berjaya tangani risiko banjir kilat di Rawang

26 Mei 2026, 3:15 AM
Projek tebatan berjaya tangani risiko banjir kilat di Rawang

SHAH ALAM, 26 MEI: Kekerapan banjir kilat di beberapa kawasan berisiko bah di Rawang semakin berkurang selepas pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) serta kerja penambahbaikan sistem saliran.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata Kampung Lee Kim Sai, Kampung Sungai Terentang dan Taman Tun Perak antara lokasi yang kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat, namun keadaan kini terkawal susulan pelaksanaan RTB.

Jelasnya, keadaan kini menunjukkan perkembangan positif dan semakin baik selepas beberapa projek tebatan banjir melibatkan kawasan sekitar dilaksanakan.

“Kalau dahulu banjir boleh berlaku enam hingga tujuh kali setahun, sekarang ada kawasan yang setahun pun tidak pernah berlaku banjir.

“Namun jika hujan lebat luar jangka akibat faktor cuaca ekstrem… perkara ini kita tidak kawal dan masih boleh menyebabkan banjir kilat berlaku,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata selain taburan hujan tinggi, antara faktor lain menyebabkan banjir kilat termasuk longkang tersumbat, masalah penyelenggaraan serta reka bentuk sistem saliran yang kurang memuaskan.

“Jadi pihak berkaitan telah menjalankan kerja pembersihan longkang selain meneliti penambahbaikan sistem saliran bagi memastikan aliran air lebih lancar dan mengurangkan risiko banjir pada masa depan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan sebanyak 19 lagi projek tebatan banjir dijangka siap tahun ini bagi memperkukuh usaha mitigasi banjir di seluruh negeri.

Menurut beliau, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada 134 projek yang dirancang di bawah Rancangan Selangor dan Rancangan Malaysia.

Izham turut memaklumkan sebanyak RM5.74 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di seluruh Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2030.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.