SHAH ALAM, 28 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukannya ke tahap maksimum bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk ancaman ribut tropika.
Pegawai Perhubungan Awamnya Mohd Nazrullah Abdul Aziz memberitahu operasi di tujuh zon merangkumi 38 balai bomba dijalankan 24 jam dengan semua anggota dan aset bersedia sepenuhnya.
“Semua agensi terlibat sentiasa peka dan jelas dengan peranan masing-masing. Pemantauan cuaca dijalankan secara berterusan supaya tindakan dapat diatur sebaiknya,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Selangor, Perak dan sebahagian Pahang berdepan ribut tropika Senyar bermula tengah malam tadi sehingga Ahad, dengan kelajuan angin maksimum sehingga 50 km/j.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tropika yang berlaku julung kali di perairan Selat Melaka itu dijangka membawa hujan melebihi 200mm dalam tempoh 24 jam.
Mengulas mengenai ramalan tersebut, Mohd Nazrullah menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.
JBPM Selangor sebelum ini memaklumkan kesiapsiagaan melibatkan 1,752 anggota, termasuk 461 anggota Pasukan Khas, sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November 2025 hingga Mac 2026.
Kesiapsiagaan ini turut diperkukuh dengan pelbagai aset darat dan air seperti kenderaan 4x4, lori, jentera FRT, serta 88 unit bot pelbagai jenis bagi memastikan operasi menyelamat dapat digerakkan dengan pantas dan berkesan.




