SHAH ALAM, 4 JUN: Seorang guru melecur kira-kira 50 peratus pada bahagian muka dan tangan selepas tong gas di dapur rumahnya meletup dalam kejadian di Taman Baiduri, Kuala Ina, Alor Gajah, Melaka semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.26 pagi itu, Mohamad Edham Zul, 29, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor Shah, Tampin, dipercayai terdengar bunyi yang disyaki berpunca daripada kebocoran gas sebelum memeriksa keadaan di dapur.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata letupan berlaku secara tiba-tiba ketika mangsa menjalankan pemeriksaan menyebabkannya melecur pada beberapa anggota badan, lapor Berita Harian.
Beliau berkata anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) JBPM memberikan rawatan awal sebelum mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.
"Setakat ini, pemeriksaan dan pemantauan risiko kebocoran gas susulan telah dijalankan, termasuk dengan bantuan agensi berkaitan bagi memastikan kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat," katanya.
Beliau berkat, pemeriksaan di lokasi mendapati letupan itu menyebabkan kerosakan ketara pada struktur rumah, termasuk bumbung, pintu dan tingkap, selain kesan haba serta jelaga di ruang dapur yang dipercayai menjadi lokasi letupan.
Sementara itu, kakak mangsa, Nurul Atiqah, 31, berkata keadaan adiknya yang juga anak bongsu daripada lima beradik dilaporkan stabil.
Katanya, mangsa akan dipindahkan dari Hospital Kuala Pilah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan kulit susulan kecederaan dialami.
"Keadaan adik semakin baik dan isteri serta anaknya turut terselamat dalam kejadian itu," katanya.








