TAPAH, 6 JUN: Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas 14 hari dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini, Jaslinda Saludin, 49, mengalami beberapa kecederaan ringan termasuk di kepala akibat beberapa kali terjatuh ketika cuba mencari jalan keluar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa turut mengalami kesan gigitan serangga seperti agas sepanjang tempoh berada di dalam hutan.
Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diberikan mangsa kepada pasukan penyelamat, Jaslinda terjatuh beberapa kali termasuk di kawasan sungai ketika berusaha meredah laluan mencabar.
“Beliau memaklumkan ada terjatuh beberapa kali, termasuk dari ketinggian kira-kira lima meter dan tiga meter, namun berjaya bangun semula dan meneruskan perjalanan.
“Alhamdulillah, mangsa berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah di sini hari ini.
Terdahulu, Jaslinda ditemukan oleh penduduk Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, kira-kira 5 petang tadi.
Sebelum itu, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi 23 Mei lepas, melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi, 24 Mei.








