TAPAH, 3 JUN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih di sini akan diteruskan dalam skala kecil bermula esok dengan diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Abdul Malik Hasim berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat penyelarasan SAR yang dipengerusikan Pegawai Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori petang ini.
“Bagaimanapun, pihak polis akan menjalankan pemantauan dan siasatan lebih lanjut berkenaan kehilangan mangsa di Gunung Batu Putih ini.
“Kita akan merakam percakapan rakan-rakan mangsa, iaitu sebanyak 14 orang yang terlibat dalam operasi pendakian ini dan mana-mana pihak boleh menyalurkan maklumat kepada polis untuk membantu kita menyelesaikan pencarian ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini hari ini.
Beliau berkata operasi SAR sebelum ini melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, polis dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Malim Gunung Perhutanan (MGP) serta sukarelawan orang awam.
Dalam pada itu, Abdul Malik berkata operasi SAR sebelum ini melibatkan 116 orang yang dijalankan selama 11 hari.
Katanya operasi akan diketuai pihak bomba dalam skop prosedur operasi standard (SOP) SAR jabatan itu dengan dibantu oleh penduduk tempatan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata keputusan itu mengambil kira operasi SAR telah meliputi 95 peratus kawasan pendakian Gunung Batu Putih dengan pelbagai kaedah pencarian yang disediakan JBPM digunakan dalam usaha mengesan mangsa.
“(Tambahan lagi) daripada pihak JBPM terdapat lima anggota yang cedera dan daripada Batalion 3 PGA pula terdapat empat kecederaan, ini juga adalah antara aspek yang kita ambil kira," katanya.
Abdul Malik berkata pasukan penyelamat perlu merancang sebaik mungkin bagi mengelakkan pembaziran tenaga serta tidak membahayakan anggota penyelamat yang terlibat dalam misi itu.
Beliau berkata kehilangan Jaslinda juga tidak melibatkan sebarang unsur jenayah, namun rakan-rakan mangsa yang mendaki bersama dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut.
“Saya faham ada berlegar-legar di media sosial berkenaan dengan along, tetapi setakat ini siasatan kita dapati tiada unsur jenayah. Kita fokus kepada pencarian di Gunung Batu Putih,” katanya.
Beliau berkata Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi operasi SAR Gunung Batu Putih di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh akan ditutup hari ini.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun kerani di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.








