Selangor sedia geran RM2,000 bantu 200 pengasuh berdaftar

13 Nov 2026, 11:06 AM
Selangor sedia geran RM2,000 bantu 200 pengasuh berdaftar
Selangor sedia geran RM2,000 bantu 200 pengasuh berdaftar

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 200 pengasuh akan menerima geran khas RM2,000 sebagai bantuan awal mendaftarkan perniagaan, selaras langkah membentuk sistem ekonomi penjagaan.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan menerusi Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (IMPAK) Selangor itu membolehkan pengasuh menjana pendapatan lebih wajar, selain menawar perkhidmatan penjagaan dengan kos berpatutan dalam komuniti.

“Untuk 2027, RM2 juta diperuntuk bagi memperluas program IMPAK dan menggalakkan permohonan lesen agar penjaga tersebut dapat beroperasi sebagai perniagaan sah demi menjamin keselamatan kanak-kanak dan warga emas.

“Sehingga kini, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) telah mengenal pasti 2,200 pengasuh tidak formal, dengan 1,000 pengasuh menjalani latihan Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2027 hari ini.

Amirudin berkata Selangor menjadi negeri pertama yang mempertanggungjawabkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk melihat aspek penjagaan sebagai peluang mewujudkan ekonomi baharu, iaitu ekonomi penjagaan.

Menurutnya, ia berikutan Selangor memiliki jumlah penduduk paling ramai di Malaysia namun dijangka mencapai status negeri menua dengan sekurang-kurangnya 20 peratus penduduk terdiri daripada warga emas berusia melebihi 60 tahun.

“Pada masa sama, kita masih mempunyai jumlah golongan muda yang ramai hasil daripada penghijrahan penduduk dari negeri lain ke Selangor.

“Demi mengatasi cabaran ini, kita memerlukan lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran menjaga anak-anak dan warga emas agar rakyat Selangor tidak terpaksa menghantar anak atau ibu bapa mereka ke pusat penjagaan yang mahal,” katanya.

IMPAK dilancar sejak 2024, menawarkan latihan atau kursus penjagaan kanak-kanak dengan menumpukan pengasuh yang mempunyai anak asuhan tidak melebihi empat orang.

Program itu memanfaat pengasuh di rumah yang tidak berdaftar. Menerusi program ini, mereka dibantu dengan kursus yang menawarkan kemahiran profesional.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.