Selangor terajui industri halal Malaysia, 70 peratus syarikat beroperasi di negeri ini

27 Nov 2025, 12:26 PM
Selangor terajui industri halal Malaysia, 70 peratus syarikat beroperasi di negeri ini
Selangor terajui industri halal Malaysia, 70 peratus syarikat beroperasi di negeri ini
Selangor terajui industri halal Malaysia, 70 peratus syarikat beroperasi di negeri ini
Selangor terajui industri halal Malaysia, 70 peratus syarikat beroperasi di negeri ini

SHAH ALAM, 27 NOV: Selangor muncul sebagai negeri yang memiliki kapasiti industri halal terbesar di negara ini, dengan kira-kira 70 peratus syarikat bersijil halal Malaysia beroperasi di negeri tersebut.

EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata perkembangan itu sekali gus menjadikan Selangor sebagai pusat tumpuan utama sektor halal negara.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut merangka pelbagai inisiatif bagi memperkukuh ekosistem industri halal termasuk mengenal pasti gudang serta hab logistik halal untuk dibangunkan sebagai fasiliti khas.

“Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah memudahkan proses pensijilan halal. Kita jamin produk yang memohon kali pertama akan diluluskan dalam tempoh tidak lebih 30 hari, atau bayaran akan dikembalikan.

“Kita juga giat memasarkan produk halal melalui penganjuran festival seperti ini. Mulai tahun depan, kerjasama dengan sebuah platform digital terkemuka akan diteroka bagi membolehkan Gerai Halal Selangor diwujudkan secara digital untuk menembusi pasaran dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Selangor HalalVibe Fest 2025 di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam hari ini.

Program selama empat hari itu berlangsung sehingga Ahad dengan pelbagai pengisian menarik termasuk Seminar Pensijilan Halal, sesi padanan perniagaan, pembentangan kesedaran halal serta aktiviti pitching bersama Yayasan Hijrah Selangor dan Agrobank bagi membuka peluang jaringan dan akses pembiayaan kepada usahawan.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal seperti Ara Johari, Wany Hasrita, Jamal Abdillah dan Aizat Amdan.

Selain itu, lebih 300 reruai dibuka membabitkan pengusaha produk makanan dan minuman halal, penyedia perkhidmatan, pertanian dan fesyen, pertandingan mewarna, cabutan bertuah serta pertandingan kucing comel. Beberapa produk kucing halal turut dipamerkan.

Dianjurkan Kerajaan Negeri bersama Halal International Selangor (HIS) sebagai agensi pelaksana, festival berkenaan menyasarkan nilai transaksi jualan RM3 juta dengan kehadiran 30,000 pengunjung.