PETALING JAYA, 20 FEB: Penganjuran Selangor HalalVibe Fest yang memberi tumpuan kepada produk patuh syariah diadakan sekurang-kurangnya tiga kali selepas sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Menurut EXCO agama Islam, program yang pertama kali diadakan tahun lalu bertujuan memberi pendedahan dan keyakinan masyarakat terhadap ekosistem produk dan perkhidmatan halal.
Dr Mohammad Fahmi Ngah memberitahu acara sedemikian juga memberi ruang kepada orang ramai untuk memperoleh aneka barangan dan perkhidmatan halal dalam satu lokasi secara berkala.

“Sasaran nilai jualan melebihi RM4.5 juta sekali gus mengatasi rekod penganjuran tahun lalu," katanya kepada Media Selangor.
Selangor Halalvibe Fest 2025 muncul sebagai festival halal terbesar di negeri ini dengan membawa konsep 'Halal Untuk Semua' dan terbuka kepada semua kaum dan peringkat umur.
Pada tahun lalu, program sama yang disertai hampir 300 reruai di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam antara 27 hingga 30 November meletak sasaran nilai jualan RM3 juta.
Mohammad Fahmi berkata program tersebut turut disertai pelbagai sektor lain termasuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang menawarkan kemudahan pembiayaan patuh syariah.
“(Juga) jualan kereta Proton yang menggunakan pakej pembiayaan secara halal. Inisiatif ini memperluas konsep halal merentasi gaya hidup, bukan sekadar makanan dan minuman,” katanya.








