SHAH ALAM, 27 NOV: Seramai 101 mangsa banjir di kawasan Meru dan Sungai Kandis menerima bantuan fidyah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berbentuk kotak makanan kering bernilai keseluruhan RM22,422.
Pengerusi Mais, Dato’ Salehuddin Saidin berkata pihaknya sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu masyarakat yang terkesan, khususnya mangsa banjir.
“Hari ini Mais membantu seramai 65 keluarga yang terjejas di Sungai Kandis akibat banjir, begitu juga sumbangan fidyah diberikan di Meru semalam,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Sungai Kandis, petang tadi.
Beliau menjelaskan setiap penerima bantuan menerima kotak berisi keperluan asas seperti gula, beras, minyak masak, tepung gandum, susu, biskut, makanan dalam tin dan minuman coklat dengan nilai kira-kira RM222 setiap satu.
Salehuddin berkata, penggunaan wang fidyah bertujuan menyantuni mangsa bencana sekali gus memenuhi maslahah ummah dalam usaha meringankan beban mereka yang memerlukan.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Sulaiman Kasuri, 57, menzahirkan penghargaan atas bantuan yang diterima.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Mais kerana memberi sumbangan pada waktu banjir seperti ini,” katanya kepada Media Selangor.
Seorang lagi penerima, Siti Nor Fadzilah Ali, 43, turut melahirkan rasa syukur menerima bantuan tersebut, petang tadi.
“Syukur kerana ada pihak yang prihatin sedia membantu, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban,” katanya.


