SHAH ALAM, 27 NOV: Sebuah gerai ayam goreng di Tanjong Sepat disita Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) selepas didapati diusahakan seorang warga asing tanpa lesen sah.
Menurut MPKL, operasi sekitar jam 10.30 pagi semalam mendapati individu terbabit menjalankan perniagaan di bahu jalan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, sekali gus melanggar Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah diambil selaras dengan Undang-Undang Kecil 42(1), Undang-Undang Kecil Penjaja, melibatkan peralatan serta barangan jualan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
MPKL menegaskan operasi penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang sentiasa terjaga dalam kawasan pentadbirannya.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perniagaan tanpa lesen digalakkan menyalurkan aduan melalui sistem aduan rasmi MPKL bagi tindakan lanjut,” tegasnya.




