Fokus perkasa ekonomi serantau: MB
PERBAHASAN RUU Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor berlangsung hangat sepanjang persidangan. Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari di Majlis Penghargaan Pelabur Selangor (SIAA) 2023 dan 2024 pada 21 November lalu, menyampaikan perkembangan terbaharu mengenai prospek pelaburan dan hala tuju ekonomi negeri untuk tahun hadapan.
Selangor mencatat RM51.9 bilion pelaburan yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga September 2025, menurut Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari.
Angka berkenaan, seperti diumumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), merupakan kedua tertinggi dalam negara selepas Johor.
Daripada jumlah itu, RM10.7 bilion melibatkan sektor pembuatan manakala RM41.2 bilion membabitkan sektor perkhidmatan, dengan Selangor merekodkan 1,470 projek atau 30 peratus daripada keseluruhan 4,874 projek pelaburan di Malaysia dalam tempoh sama.
Dalam ucapannya, beliau berkata pencapaian itu menunjukkan keyakinan kukuh pelabur tempatan dan asing terhadap Selangor sebagai destinasi pelaburan jangka panjang utama negara.
Jelasnya, Kerajaan Negeri kini memberi tumpuan untuk memperkukuh pembangunan serantau, termasuk menerusi projek:
IDRISS di selatan Selangor
Rancangan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) di pesisir barat
Selangor Maritime Gateway di sepanjang Sungai Klang
Selain itu, Selangor turut merancang membangunkan Hab Automotif dan Zon Rel di Serendah serta Lembah Beringin, termasuk mewujudkan tujuh Taman Perindustrian Terurus membabitkan kawasan seluas 3,710 ekar di Kuala Langat, Gombak dan Klang.
RS-2 dan kerjasama Asean
Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pertengahan tahun depan, merangkumi strategi pembangunan sosioekonomi lima tahun berdasarkan pencapaian dan pengalaman daripada rancangan terdahulu.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan serantau serta meneroka peluang ekonomi yang wujud hasil Kepengerusian Asean oleh Malaysia, termasuk kerjasama perdagangan, ekonomi digital dan tenaga boleh baharu.
Selangor, katanya melihat potensi besar dalam kerjasama serantau untuk mengukuhkan rantaian bekalan industri di rantau ini, dan akan menerajui inisiatif membawa syarikat tempatan menembusi pasaran Asean menerusi kerjasama dengan Invest Selangor.
“Ketidaktentuan global dan perubahan geopolitik menuntut Selangor memperkukuh kerjasama pelbagai hala, mempelbagaikan pasaran eksport serta memanfaatkan rangka kerja di peringkat Asean.
“Selangor akan meneroka dan memanfaatkan peluang besar yang wujud melalui Kepengerusian Asean oleh Malaysia. Usaha ini seiring misi kita mengukuhkan kedudukan strategik Selangor dalam rantau ini,” kata lagi.
Dasar Speed Selangor
Menurut Amirudin, Dasar Speed Selangor (Speed Selangor Policy), yang dilancarkan bulan lalu, bakal mengurangkan tempoh permohonan dan kelulusan perniagaan daripada tiga bulan kepada 14 hari.
Bagi projek pembinaan yang telah memperoleh Certification of Completion and Compliance (CCC), lesen perniagaan pula boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam tempoh 24 jam.
Pada peringkat awal, dasar itu akan memberi tumpuan kepada sektor strategik seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa dan semikonduktor.
Selangor tarik pelaburan berkualiti
Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelabur apabila mencatat RM101.1 bilion pelaburan yang diluluskan pada 2024, menjadikan negeri itu yang pertama melepasi paras RM100 bilion dalam sejarah pelaburan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata pencapaian itu hampir dua kali ganda berbanding jumlah RM55.3 bilion yang direkodkan pada 2023, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan pelaburan negeri walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan tekanan inflasi antarabangsa.
Menurut beliau, Invest Selangor Berhad akan terus meningkatkan usaha promosi pelaburan secara lebih strategik dan bersasar, termasuk menerusi dua acara antarabangsa utama, Selangor International Business Summit (SIBS) dan Selangor Aerospace Summit (SAS) yang menjadikan Selangor sebagai Gateway to Asean.

“Dengan kerjasama berterusan semua pihak, saya yakin kita mampu membina masa depan Selangor yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.
Bagi memantapkan ekosistem pelaburan, beberapa inisiatif strategik diperkenalkan, antaranya:
Selangor Soft Landing Programme
Membantu pelabur menjalankan proses due diligence sebelum menubuhkan operasi di Selangor.
Selangor Lab Partnership Programme
Menghubungkan industri bioteknologi dan akademia bagi merancakkan penyelidikan dan pembangunan.
Managed Industrial Parks (MIP)
Dibangunkan mengikut garis panduan baharu sebagai penanda aras pembangunan taman industri yang lebih terancang, mampan dan bersedia untuk masa depan.
Selangor Career Outreach Programme (SCOUT)
Usaha pembangunan bakat yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran industri semasa melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat utama.
Pengiktirafan kepada pelabur
Majlis Penghargaan Pelabur Selangor (SIAA) 2023 dan 2024 diadakan bagi menghargai sumbangan pelabur tempatan dan asing yang merekodkan nilai pelaburan tertinggi dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan bagi 2023 dan 2024, berdasarkan data MIDA.
Lima kategori anugerah:
Anugerah Pelaburan Tertinggi (Syarikat Tempatan & Asing)
Anugerah Lokasi Pelaburan Paling Digemari di Selangor
Anugerah Pencapaian Khas Taman Perindustrian Terurus (MIP)
Anugerah Pencapaian Khas Program Selangor Soft Landing
Anugerah Pengiktirafan Khas Agensi Kerajaan & Teknikal
Penerima dipilih berdasarkan projek pembuatan dan perkhidmatan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tahun fiskal 2023 dan 2024.
Sebanyak 46 pemenang diumumkan dalam sesi pertama di bawah Anugerah Pengiktirafan Khas untuk agensi kerajaan dan teknikal di Selangor, antaranya:
Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dan Klang - Kategori Pejabat Daerah
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) - Kategori Pihak Berkuasa Tempatan
Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (Upen) dan Plan Malaysia Selangor - Kategori Jabatan Negeri
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor - Kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) - Kategori Jabatan Kanun Negeri
Tenaga Nasional Bhd (TNB) Selangor, Telekom Malaysia Berhad (TM) Selangor - Kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan Persekutuan (CGLC)
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Selangor Utility Corridor (Kusel) - Kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC)
NCT Smart Industrial Park (NSIP) di Kuala Langat dan Elmina Business Park (EBP) di Gombak - Anugerah Pencapaian Khas untuk MIP
Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Petaling, dan Hulu Langat - Anugerah Lokasi Pelaburan Pilihan 2023
Maruss Sdn Bhd, Advenxus Solutions Sdn Bhd, dan Novid PPE Sdn Bhd - Anugerah Pelaburan Tertinggi 2023






