SHAH ALAM, 13 APRIL: Selangor menyasarkan pelaburan sebanyak RM80 bilion tahun ini, meningkat daripada sasaran RM65 bilion pada 2025, dan yakin mampu mencapai sasaran itu walaupun berdepan semakan semula belanjawan susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris berkata kerajaan negeri tetap mengekalkan sasaran pelaburan dan melihat semakan belanjawan sebagai langkah penyesuaian strategik, bukannya tanda kelemahan ekonomi.
“Kerajaan Negeri yakin dapat mengekalkan sasaran pelaburan.
“Semakan belanjawan ini bukan menunjukkan ekonomi lemah, sebaliknya bertujuan memastikan peruntukan negeri digunakan dengan lebih berkesan, terutama dalam sektor berimpak tinggi.
“Langkah ini juga membolehkan kita menumpukan sumber kepada keperluan semasa seperti membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang meningkat serta menyokong industri tempatan yang terkesan akibat gangguan rantaian bekalan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada cadangan semakan Belanjawan Selangor 2026 akan menjejaskan prospek pelaburan negeri.
Pada 6 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor yang akan membantu menilai semula belanjawan negeri, menangani tekanan kos sara hidup serta menyokong rakyat dan industri dalam situasi krisis tenaga semasa.
Pasukan petugas itu dipengerusikan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dan akan merangka langkah bagi mengurangkan kesan konflik terhadap ekonomi negeri.
Hasan menegaskan semakan belanjawan penting bagi memastikan Selangor mampu menghadapi cabaran global dengan lebih baik.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM83.9 bilion pada 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelaburan utama negara.
Selangor berada di tangga kedua tertinggi selepas Johor yang mencatatkan RM110 bilion pelaburan, dipacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Selain itu, Selangor turut merekodkan jumlah projek pelaburan tertinggi di Malaysia tahun lalu.
Krisis berterusan melibatkan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran turut memberi kesan kepada laluan penting Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan bekalan tenaga utama yang diperlukan untuk sektor pengangkutan dan pertanian.








