KUALA LUMPUR, 18 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 yang berakhir semalam memperluas jaringan Selangor di peringkat ASEAN menerusi tumpuan kepada pelaburan, industri baharu dan pembangunan bakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Dato’ Hasan Azhari Idris berkata SIBS 2026 merekodkan potensi nilai transaksi RM3.7 bilion dalam tempoh tiga hari pertama, manakala data transaksi tambahan masih dikumpulkan.
Beliau berkata pihaknya optimis sasaran potensi nilai transaksi RM8 bilion dapat dicapai selepas mengambil kira transaksi tambahan dan hasil penglibatan perniagaan yang masih dalam proses pengumpulan data.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 14 hingga 17 Oktober, edisi ke-10 itu menghimpunkan pemain perniagaan, pelabur, pemimpin industri dan penggubal dasar menerusi pameran, persidangan serta program padanan perniagaan bertemakan ‘The Definitive Gateway to ASEAN’.
Pencapaian itu sebahagian daripada usaha menghubungkan pelabur dengan peluang perniagaan di Selangor dan rantau ini, selaras dengan sasaran negeri mencapai nilai ekonomi RM600 bilion dan pelaburan RM330 bilion menjelang 2030 menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Usaha memperluas jaringan antarabangsa turut diteruskan menerusi SIBS@ASEAN yang berlangsung di Bandung, Indonesia, pada 9 dan 10 Julai lalu bagi memperkukuh hubungan perniagaan serta memudah cara kerjasama rentas sempadan.
Perancangan bagi penganjuran SIBS@ASEAN tahun depan sedang dijalankan, dengan Filipina dan Kemboja dipertimbangkan sebagai negara tuan rumah.
Fokus industri baharu
Selain pelaburan, SIBS 2026 turut memberi penekanan kepada industri baharu termasuk semikonduktor, pembuatan termaju, teknologi industri dan ekonomi penjagaan.
Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026, antara komponen sidang kemuncak itu, merekodkan potensi pelaburan indikatif RM7.8 juta menerusi 128 sesi padanan perniagaan, selain menyaksikan pemeteraian enam memorandum persefahaman (MoU).
EXCO Pemerkasaan Wanita dan Kebajikan Selangor, Anfaal Saari berkata ekonomi penjagaan ialah sektor baharu yang berpotensi dibangunkan Selangor sebagai hab serantau bagi memenuhi keperluan pasaran ASEAN.
SICE menghimpunkan lebih 30 pempamer dalam bidang penjagaan warga emas dan kanak-kanak, sokongan orang kurang upaya (OKU), teknologi bantuan serta perkhidmatan penjaga.
Ekspo itu turut menghasilkan lima resolusi utama meliputi pembiayaan penjagaan, perusahaan penjagaan, pembangunan tenaga kerja, teknologi dan kecerdasan buatan (AI), serta inovasi perkhidmatan penjagaan.
Sementara itu, Selangor Techsphere Summit (STS) mengetengahkan teknologi dan penyelesaian bagi menyokong transformasi digital, automasi serta pembuatan termaju.
Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Google Malaysia, Festo, BMW Group Malaysia dan Weidmüller. Sambutan positif terhadap program itu turut mendorong pempamer menyatakan minat untuk mendapatkan ruang pameran lebih besar bagi penganjuran tahun depan.
Selangor AI & Semiconductor Summit (AiSEM) pula memberi tumpuan kepada industri semikonduktor dan litar bersepadu dengan penyertaan lebih 140 pempamer teknologi, termasuk SanDisk, Nexperia, Oppstar, SkyeChip dan GreatAsic.
Program itu menyediakan platform kepada pemain industri untuk mempamerkan teknologi, meneroka peluang perniagaan dan membincangkan pembangunan aktiviti bernilai tinggi dalam rantaian bekalan semikonduktor.
Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK) turut mempamerkan taman perindustrian dan peluang pelaburan membabitkan pemaju serta agensi tempatan, termasuk NCT, PKNS, Sime Darby dan EcoWorld, selain wakil kawasan perindustrian dari Indonesia dan Filipina.
Dalam aspek pembangunan bakat, program Selangor Career Outreach (SCOUT) menawarkan 10,000 peluang pekerjaan merangkumi kira-kira 2,000 kategori pekerjaan.
Berlangsung selama tiga hari, program itu menghimpunkan lebih 140 syarikat dan menarik pencari kerja yang ingin meneroka peluang pekerjaan dalam pelbagai industri. Inisiatif berkenaan mendapat sokongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).
Program itu melengkapi tumpuan SIBS untuk memastikan pertumbuhan pelaburan negeri disokong tenaga kerja berkemahiran yang memenuhi keperluan industri.
Antara program utama lain ialah Selangor ASEAN Business Conference (SABC) yang membincangkan prospek pertumbuhan ASEAN, pemerkasaan belia dan pembangunan bakat.
Selangor Investment Forum (SIF) pula mengetengahkan projek sedia dilabur, cadangan Laluan Rel Kita Selangor serta agenda ekonomi hijau negeri.
SIBS 2026 turut menyaksikan pelancaran laporan ketersediaan bakat, buku promosi pelaburan dan sijil Preferred Industrial Park bagi menyokong usaha promosi pelaburan serta memperkukuh ekosistem perindustrian Selangor.
Secara keseluruhan, sidang kemuncak itu menampilkan lebih 500 reruai dengan penyertaan antarabangsa dari Singapura, Indonesia, Jepun, Filipina, Thailand, India, Jerman, Amerika Syarikat, China, Taiwan, Bangladesh, Kenya, Sri Lanka, Brazil dan Vietnam.
Acara itu turut menampilkan 188 penceramah menerusi sembilan program persidangan khusus, selain 110 peserta dalam program delegasi.
Pencapaian SIBS 2026 meneruskan momentum edisi tahun lalu yang merekodkan potensi nilai transaksi RM8.17 bilion.










