SHAH ALAM, 13 APRIL: Ekonomi Selangor yang pelbagai serta fokus kepada industri berimpak tinggi dijangka mampu menahan kesan ketidaktentuan global, kata Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris.
Beliau berkata Selangor bukan sahaja penyumbang terbesar ekonomi negara — dengan sumbangan 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 — malah mempunyai ekosistem industri yang luas yang membantu negeri ini kekal kukuh menghadapi cabaran luar.
“Selangor tidak bergantung kepada satu sektor sahaja. Kepelbagaian dalam sektor pembuatan, perkhidmatan digital dan logistik menjadi kekuatan utama dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, Selangor kini memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti dan sektor berimpak tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC), ekonomi kitaran dan pusat data.
“Pelabur dalam sektor ini biasanya merancang untuk jangka panjang, jadi mereka kurang terkesan dengan perubahan pasaran dalam tempoh singkat,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada konflik global semasa, khususnya di Asia Barat, boleh menjejaskan aliran pelaburan ke Selangor.
Pada 9 April lalu, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata strategi pelaburan Selangor akan dikaji semula dengan memberi lebih tumpuan kepada syarikat tempatan bagi memastikan ekonomi negeri terus kukuh.
Menurut Sze Han, kerajaan negeri tidak akan menyekat pelaburan asing, sebaliknya mahu menarik lebih banyak syarikat tempatan berimpak tinggi serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang.
Sementara itu, Hasan berkata Selangor masih menjadi pilihan pelabur walaupun dunia berdepan ketidaktentuan, kerana negeri ini mempunyai infrastruktur yang baik dan tenaga kerja mahir, selain sokongan aktif daripada Invest Selangor.
“Kami komited memastikan urusan perniagaan di Selangor terus mudah dan lancar,” katanya.
Beliau menjelaskan keputusan pelaburan biasanya mengambil masa lama, dari beberapa bulan hingga bertahun-tahun, dan tidak hanya bergantung kepada keadaan ekonomi global.
“Pelabur juga melihat faktor lain seperti rantaian bekalan, ekosistem industri, tenaga kerja mahir, sokongan kerajaan, kos operasi serta kemudahan infrastruktur dan telekomunikasi,” katanya.
Hasan berkata Invest Selangor akan terus mempromosikan negeri ini sepanjang tahun supaya pelabur sentiasa mendapat maklumat terkini serta yakin dengan langkah yang diambil untuk menghadapi cabaran semasa.








