SHAH ALAM, 5 OKT: Pesara berusia 70-an kerugian RM367,950 selepas terperdaya dengan kenalan wanita menerusi WhatsApp yang menawarkan skim pelaburan bagi menjana pendapatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada wanita memperkenalkan diri sebagai ‘Via’ pada 31 Julai lalu.
Katanya, wanita berkenaan pada mulanya mendakwa tersalah menghantar pesanan kerana menyangka mangsa seorang kontraktor bernama ‘Mahdir’, sebelum menjalinkan hubungan rapat dengannya.
“Suspek kemudiannya menjalinkan hubungan rapat dengan mangsa dan menawarkan kepadanya untuk menyertai satu skim pelaburan untuk menjana pendapatan.
“Bagi meyakinkan mangsa selepas menyertai pelaburan itu, tiga transaksi pertama, mangsa menerima pulangan wang,” katanya, lapor Harian Metro.
Azli berkata mangsa kemudian diarahkan membuat bayaran modal secara beransur-ansur ke beberapa akaun bank sehingga melakukan 72 transaksi ke 13 akaun penerima antara 22 Ogos hingga 30 September.
Katanya, jumlah keseluruhan RM367,950 yang dibayar mangsa membabitkan wang hasil jualan tanah dan simpanannya sebelum dimaklumkan modal serta keuntungan dalam platform berkenaan sudah terkumpul melebihi RM800,000 dan boleh dikeluarkan.
“Namun, apabila mangsa ingin membuat pengeluaran, pengendali platform utama memaklumkan bahawa akaun mangsa mempunyai masalah yang dinyatakan sebagai ‘have abnormal relationship between funds and tax’.
“Pengendali platform kemudiannya meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebanyak RM80,765 kononnya sebagai bayaran proses bagi membolehkan wang tersebut dikeluarkan,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa tidak meneruskan bayaran berkenaan selepas menyedari pengendali platform seolah-olah sengaja mengenakan bayaran tambahan dengan pelbagai alasan selain menghalangnya mengeluarkan wang pelaburan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.







