SHAH ALAM, 27 NOV: Seramai 5,000 pelajar dan mahasiswa akan menerima Baucar Buku KitaSelangor sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 dengan peruntukan keseluruhan RM100,000.
Ketua bahagian unit korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata peruntukan daripada Kerajaan Negeri itu akan diberikan kepada pelajar terpilih terutama daripada keluarga kurang berkemampuan.
Zafrullah Aris berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengenal pasti mereka yang layak menerima baucar berkenaan.
“Penerima sudah kita tentukan berdasarkan data dari JPNS dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN. Penerima yang layak boleh berbelanja di SIBF nanti,” katanya kepada Media Selangor.
SIBF 2025 membuka tirai esok hingga 7 Disember bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Dimeriahkan dengan ribuan judul menarik, program interaktif serta peluang memenangi hadiah harian bernilai RM500, ia dijangka menerima kehadiran lebih 300,000 pengunjung.
Ia turut menyediakan kira-kira 400 reruai dengan lebih 200 pempamer tempatan dan antarabangsa.




