SHAH ALAM, 27 NOV: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 yang bermula esok di Setia City Convention Centre (SCCC) dijangka menarik kehadiran lebih 300,000 pengunjung.
Ketua Bahagian Unit Korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Zafrullah Aris berkata pesta sehingga 7 Disember itu, menyediakan kira-kira 400 reruai dengan lebih 200 pempamer tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, SIBF 2025 akan turut menjadi platform peluang perniagaan kepada perniagaan (B2B) kepada penerbit, pengedar serta pemain industri buku tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian.
“Ada kira-kira 14 negara terlibat termasuk China, India, Turkiye, Singapura, Thailand, Emeriah Arab Bersatu (UAE). Jemputan khas negeri tahun ini adalah Guangdong, China dan Tamil Nadu, India,” katanya kepada Media Selangor.
Tambahnya, pengunjung berpeluang memenangi cabutan bertuah harian bernilai RM500, dengan 10 pemenang dipilih setiap hari.
Setiap pembelian bernilai RM30 melayakkan satu penyertaan, manakala pengumuman pemenang dibuat pada jam 6.30 petang dan 8.30 malam.
Pesta buku tahunan anjuran PPAS itu bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari turut menampilkan sesi bual bicara penulis, bengkel kreatif dan aktiviti keluarga, menjadikannya destinasi wajib bagi pencinta buku dan penggiat ilmu.




