SHAH ALAM, 25 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Sabak Bernam dan Hulu Selangor, sehingga jam 9 malam ini.
Keadaan sama dijangka berlaku di seluruh Melaka, beberapa kawasan di Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
MetMalaysia di Facebook menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.





