ad

Banjir Hatyai: Penuntut UUM bergantung air hujan, air naik tingkat satu hotel

25 Nov 2025, 4:15 AM
Banjir Hatyai: Penuntut UUM bergantung air hujan, air naik tingkat satu hotel
Banjir Hatyai: Penuntut UUM bergantung air hujan, air naik tingkat satu hotel
Banjir Hatyai: Penuntut UUM bergantung air hujan, air naik tingkat satu hotel

SINTOK, 25 NOV: Seramai 40 penuntut dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di Hatyai sejak 22 November lalu kini berdepan keadaan sukar apabila paras banjir di kawasan penginapan mereka dilaporkan naik sehingga ke tingkat satu hotel.

Wakil penuntut, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi berkata setakat jam 8.18 pagi (waktu Thailand), arus deras menyukarkan pasukan penyelamat menghampiri lokasi mereka sekali gus menangguhkan usaha pemindahan.

“Keadaan kami masih terkawal tetapi bekalan air bersih sudah terputus. Kami hanya bergantung air hujan untuk mandi dan keperluan asas.

“Makanan hanya disalurkan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, tetapi jumlahnya sangat terhad dan perlu dikongsi,” katanya menerusi mesej WhatsApp kepada pengurusan UUM, lapor Berita Harian.

Menurutnya, bantuan tambahan sukar disalurkan berikutan laluan darat dan air ditutup akibat banjir besar yang melanda wilayah berkenaan sejak beberapa hari lalu.

“Kami amat berharap ada bantuan makanan atau keperluan asas lain yang dapat dihantar segera melalui apa cara sekalipun,” ujarnya.

Semalam, UUM memaklumkan operasi pemindahan terpaksa ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat berterusan dan situasi banjir yang tidak selamat bagi penyelamat memasuki kawasan terjejas.

Menurut universiti itu, koordinasi dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla serta pihak berkuasa Thailand sedang dilakukan dan pemindahan akan diteruskan sebaik keadaan cuaca kembali mengizinkan.