ad

Penuntut, pensyarah UUM terkandas di Hatyai: Operasi bawa pulang bermula pagi ini

27 Nov 2025, 1:50 AM
Penuntut, pensyarah UUM terkandas di Hatyai: Operasi bawa pulang bermula pagi ini
Penuntut, pensyarah UUM terkandas di Hatyai: Operasi bawa pulang bermula pagi ini
Penuntut, pensyarah UUM terkandas di Hatyai: Operasi bawa pulang bermula pagi ini
Penuntut, pensyarah UUM terkandas di Hatyai: Operasi bawa pulang bermula pagi ini

SINTOK, 27 NOV: Seramai 40 penuntut dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir besar di Hatyai, Thailand sejak Sabtu lalu dijangka dibawa pulang pagi ini menerusi operasi khas.

Menurut kenyataan UUM, operasi pemindahan tersebut dilaksanakan pihak Konsulat Malaysia di Thailand dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan bantuan logistik.

“Sebanyak 12 bot bantuan digerakkan menerusi NGO bagi menghantar makanan dan keperluan asas kepada pelajar yang berlindung di Hotel Wangburapa Grand,” katanya.

Bagaimanapun, usaha tersebut terhalang apabila semua bot terpaksa berpatah balik disebabkan arus deras yang membahayakan keselamatan pasukan penyelamat.

UUM menjelaskan, lokasi hotel berkenaan yang terletak berhampiran sungai menyebabkan keadaan lebih kritikal berbanding tempat lain apabila paras air meningkat melebihi satu tingkat bangunan.

Kenyataan itu turut memaklumkan akses ke kawasan tersebut sukar berikutan air naik terlalu tinggi, menyebabkan semua jenis kenderaan termasuk lori dan kereta tidak dapat memasuki kawasan hotel.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar segala perancangan berjalan lancar dan pelajar dapat dibawa pulang dengan selamat,” menurut kenyataan itu lagi, lapor Berita Harian.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa kumpulan penuntut terbabit berdepan kekurangan bekalan makanan sehingga hanya mampu makan bubur nasi secara catuan.

Turut membimbangkan, seorang penuntut yang menghidap talasemia dilaporkan kehabisan ubat, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan sepanjang tempoh terkandas.

Difahamkan, mereka adalah peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 yang sepatutnya pulang ke tanah air Sabtu lalu namun terperangkap akibat banjir besar tanpa bekalan elektrik dan air.