ad

Rakyat Malaysia terkandas di Hatyai, kerajaan koordinasi bantuan dengan Thailand

23 Nov 2025, 3:42 AM
Rakyat Malaysia terkandas di Hatyai, kerajaan koordinasi bantuan dengan Thailand

BAGAN DATUK, 23 NOV: Kementerian Luar dan kerajaan Thailand akan melaksanakan koordinasi bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas akibat bencana banjir di Hatyai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Malaysia juga akan memperoleh maklumat terkini berkenaan situasi banjir yang berlaku di wilayah itu menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Kita akan mendapat maklumat terkini daripada Konsul Jeneral kita di Songkhla serta koordinasi akan dibuat dengan Kementerian Luar dan mungkin dengan kerajaan Thailand dan juga Gabenor di wilayah Songkhla untuk kita berikan bantuan kepada mereka.

“Dan seboleh mungkin mereka mahu pulang cepat ke negara kita dan mungkin kita sediakan kenderaan berat untuk mengangkut mereka supaya dapat pulang ke kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS): Moh Kita Sihat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan langkah diambil kerajaan sekiranya mangsa yang juga rakyat Malaysia terus terkandas di wilayah itu akibat banjir.

Malam tadi, media melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terkandas berikutan banjir di Hatyai dan beberapa kawasan di sekitar selatan Thailand dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Mengulas berkenaan laporan media itu, Ahmad Zahid berkata dijangkakan air surut tengah hari ini dan berharap koordinasi dapat dilakukan untuk membantu rakyat Malaysia yang terperangkap supaya mereka dapat dibawa pulang segera.

“Terutama pelajar dan guru yang terperangkap, kira-kira 40 orang dan kita harap mereka bekerjasama dengan Konsul Jeneral di Songkhla untuk dapat kembali ke tanah air,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata beliau telah membentangkan kepada Jemaah Menteri bahawa kesiapsiagaan melalui Jawatankuasa Bencana Pusat dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah digerakkan bermula 13 November lalu bagi musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Kini terdapat enam negeri yang terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta sedikit di utara Perak.

“Kita telah mengadakan koordinasi dengan Jabatan Meteorologi Malaysia, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi penguatkuasaan lain agar apabila amaran berpindah itu diberi tiga hari lebih awal daripada jangkaan untuk luruan hujan bertambah dan air meningkat, maka kita harap amaran awal ini dapat dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Ditanya langkah diambil kerajaan sekiranya terdapat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terperangkap dalam bencana banjir, Ahmad Zahid berkata Kementerian Pendidikan mempunyai langkah yang akan dilaksanakan bagi menangani isu terbabit.