ad

Rakyat Malaysia kongsi detik cemas terkandas banjir di Hatyai

23 Nov 2025, 8:24 AM
Rakyat Malaysia kongsi detik cemas terkandas banjir di Hatyai
Rakyat Malaysia kongsi detik cemas terkandas banjir di Hatyai

BUKIT KAYU HITAM, 23 NOV: Pengalaman terkandas banjir di Hatyai, Thailand menjadi pengajaran buat rakyat Malaysia yang selamat pulang ke tanah air hari ini.

Menurut Amir Ibrahim, 40, yang terkandas sejak Jumaat lalu, cabaran yang dilalui sepanjang tempoh tersebut membuatkan dia berasa sangat penting untuk menyemak atau mengambil tahu mengenai ramalan cuaca sebelum pergi bercuti.

“Saya bersama lima lagi rakan dari Langkawi pergi bercuti di Hatyai sejak Jumaat lepas. Dua malam di sana (Hatyai), tiada bekalan elektrik dan air apabila kejadian banjir semakin buruk.

“Kami terpaksa meredah banjir untuk pergi beli air minuman dan mi segera di kedai berhampiran,” katanya ketika ditemui di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Menurutnya, pada 8 pagi tadi dia dan rakan-rakannya bersiap untuk pulang ke Malaysia sebaik pihak bomba negara jiran membenarkan kenderaan melalui jalan di situ.

Katanya, dia bersama rakan-rakannya tidak mahu menunggu lama kerana dimaklumkan banjir akan berlarutan hingga Selasa.

“Kami ambil inisiatif untuk cepat keluar, kami hubungi pengusaha kenderaan pikap dan bomba membenarkan kami keluar dari sana. Kami bersyukur kerana selamat tiba di pintu masuk sempadan negara kira-kira 11 pagi tadi,” katanya.

Pada masa sama, Amir berkata dia turut berasa sedih kerana tidak dapat membantu warga Malaysia yang turut terkandas di Hatyai kerana paras air yang tinggi dan arus deras di kebanyakan kawasan.

Sementara itu, rakannya Nurfarah Amalina Abd Aziz, 33, berkata banjir di tempat penginapan tidak seteruk kawasan lain namun turut menghadapi masalah bekalan elektrik dan air.

“Kami kena berjimat guna air, sebab pada waktu itu hanya ada air dari tangki sahaja, bekalan elektrik pula diputuskan dan kami hanya bergantung kepada cahaya dari lampu jalan pada waktu malam,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tidak terkandas lama di Hatyai dan dapat pulang ke Malaysia, namun masih memikirkan keadaan rakyat Malaysia yang masih berada di sana.