SINTOK, 26 NOV: Seramai 40 penuntut dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir besar di Hatyai, Thailand ketika menyertai program pertukaran budaya kini kekurangan bekalan makanan dan ubat.
Kumpulan tersebut adalah peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 dan sepatutnya pulang ke tanah air Sabtu lalu. Namun mereka masih terperangkap di Wangburapa Grand Hotel dan Hatyai Paradise akibat banjir yang menenggelami kawasan sekitar.
Lebih membimbangkan, mereka kini hanya bergantung kepada bubur nasi yang dicatu manakala seorang pelajar yang merupakan pembawa Talasemia dilaporkan kehabisan ubat penting untuk menstabilkan hemoglobin dalam badan.
“Keadaan kami terkawal… tapi makanan makin sedikit. Kami cuma makan bubur yang dicatu. Hujan tak berhenti, air makin naik. Kami tak boleh keluar. Kami benar-benar perlukan bantuan,” kata Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi, 21, salah seorang penuntut yang terkandas.
Tambahnya, talian internet yang tidak stabil menyukarkan mereka untuk berkomunikasi, manakala tiada sesiapa dalam kumpulan itu yang dapat keluar membeli ubat atau makanan disebabkan kawasan sekitar dinaiki air.
Menurut Mimi, mereka melihat beberapa bot penyelamat melalui kawasan tersebut tetapi tidak berhenti, sekali gus memaksa mereka bergantung sepenuhnya kepada harapan agar bantuan segera tiba.
“Kami lihat bot lalu dua tiga kali, tapi tak berhenti. Kami hanya berdoa satu daripada bot itu akan hulurkan makanan,” katanya ketika berhubung menerusi WhatsApp dengan pihak UUM malam tadi, lapor Berita Harian.
Dalam keadaan mencabar itu, dua pensyarah pengiring, Dr Mohd Hadzrami Harun Rasit dan Dr Muhammad Harith Zahrullail, sanggup meredah air sedalam hampir satu meter demi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar terjaga.
Mereka juga memantau agar tiada pelajar mengalami simptom penyakit serius atau tekanan emosi akibat situasi yang mencemaskan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan tugas Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed memaklumkan pihak universiti sentiasa berhubung dengan Konsulat Malaysia di Hatyai dan ibu bapa pelajar terbabit.
Katanya, UUM komited memantau perkembangan dan akan terus menyalurkan maklumat terkini berhubung keadaan semasa kumpulan pelajar tersebut.






