SHAH ALAM, 25 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menetapkan semua premis di bawah pentadbirannya perlu melaksanakan larangan penggunaan plastik sekali guna sebagai usaha memperkukuh agenda kelestarian bandar raya itu.
Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Pengurusan MBSA, selaras arahan Kerajaan Negeri berhubung pelaksanaan garis panduan bebas plastik.
“Pelaksanaan tersebut merangkumi seluruh premis milik MBSA termasuk Wisma MBSA, pejabat cawangan, dewan, perpustakaan serta lain-lain premis berkaitan.
“Penguatkuasaan itu dibuat susulan arahan melalui surat pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bil.1 Tahun 2025 yang menetapkan semua bangunan atau premis Kerajaan Negeri perlu melaksanakan garis panduan bebas plastik,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kali Ke-11 Tahun 2025 di Wisma MBSA, semalam.
Beliau berkata, larangan tersebut turut dikuatkuasakan ke atas semua program dan aktiviti anjuran MBSA, termasuk majlis rasmi, mesyuarat jabatan dan program komuniti.

Pada 26 Mac lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan Surat Pekeliling SUK (SPBT) Bil.1 Tahun 2025 yang memperincikan pelaksanaan penuh Program Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna di semua bangunan dan premis pentadbirannya.
Pekeliling itu menetapkan garis panduan bebas plastik, termasuk larangan penggunaan botol plastik, pembalut makanan dan bekas pakai buang berasaskan plastik.
Langkah tersebut menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkukuh dasar kelestarian dan mengurangkan pencemaran plastik secara berperingkat.
Sementara itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut memperkukuh Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018–2030 sebagai strategi utama negara dalam mengurangkan pencemaran plastik secara sistematik.
Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim, sebelum ini menjelaskan bahawa pelan tersebut memberi tumpuan kepada perubahan tingkah laku masyarakat daripada penggunaan plastik berlebihan kepada amalan kitar semula dan guna semula.





