ad

Proton e.MAS 7 kenderaan rasmi MBSA, bantu jimat kos operasi

25 Nov 2025, 12:00 AM
Proton e.MAS 7 kenderaan rasmi MBSA, bantu jimat kos operasi
Proton e.MAS 7 kenderaan rasmi MBSA, bantu jimat kos operasi

SHAH ALAM, 25 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatat sejarah apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia menggunakan kenderaan utiliti sukan elektrik (EV) Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan rasmi jabatan.

PBT itu memaklumkan sebanyak lapan unit SUV elektrik itu akan digunakan dalam operasi harian, bagi memperkukuh agenda hijau dan menyokong usaha bandar raya tersebut ke arah Bandar Pintar dan Rendah Karbon.

“Langkah memperkenalkan EV sebagai kenderaan jabatan ini sejajar dengan komitmen MBSA terhadap usaha Bandar Hijau dan Rendah Karbon, sekali gus memberikan penjimatan jangka panjang dari segi penggunaan petrol, penyelenggaraan enjin dan kos operasi keseluruhan.

"Dynamic Care Resources Sdn Bhd bersama Proton turut merancang memasang beberapa stesen pengecas EV di lokasi strategik sekitar Shah Alam bagi menyokong keperluan operasi kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan.

Menurut MBSA, penggunaan EV mampu mengurangkan kos operasi harian antara 10 hingga 30 peratus setahun berbanding kenderaan petrol atau diesel, memandangkan EV tidak memerlukan penyelenggaraan komponen seperti minyak enjin, palam pencucuh atau tali sawat masa.

"Dengan penyelenggaraan lebih rendah dan penggunaan tenaga lebih efisien, EV akan digunakan untuk rondaan bandar, penguatkuasaan, penyeliaan projek, lawatan tapak dan urusan rasmi jabatan," katanya.

Jelasnya, penggunaan EV merupakan sebahagian strategi jangka panjang untuk mengumpul data operasi sebenar bagi merangka peralihan penuh kepada kenderaan elektrik pada masa depan.

"Melalui pelaksanaan EV, kami menyasarkan pengurangan intensiti karbon sekurang-kurangnya satu tan setahun, selain meningkatkan penggunaan kenderaan hijau di peringkat jabatan kepada 10 hingga 20 peratus menjelang 2030.

"Kami juga komited melaksanakan lebih banyak inisiatif hijau melibatkan teknologi, pengurusan sumber yang lebih efisien serta penglibatan aktif komuniti dalam agenda kelestarian bandar," katanya.

Terdahulu, majlis penyerahan Proton e.MAS 7 disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim bersama barisan kepimpinan MBSA dan tetamu kehormat.