ad

Amaran angin kencang, hujan berterusan beberapa negeri hingga Selasa

23 Nov 2025, 12:07 PM
Amaran angin kencang, hujan berterusan beberapa negeri hingga Selasa

SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan hujan lebat berterusan di beberapa negeri di utara dan barat Semenanjung, bermula hari ini sehingga 25 November.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan, amaran hujan berterusan pada tahap bahaya, buruk, dan waspada berkuat kuasa sehingga 25 November 2025.

"Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, dan Selangor akan berkuat kuasa sehingga 24 November 2025.

"Satu sistem tekanan rendah telah terbentuk di Selat Melaka pada kedudukan 5.4° Utara, 98.3° Timur, berhampiran kawasan perairan utara Semenanjung. Sistem ini hampir pegun dan dijangka bergerak ke arah barat laut menuju Teluk Benggala selepas tempoh 36 jam," katanya.

Beliau menambah, walaupun kemungkinan sistem ini berkembang menjadi siklon tropika lemah adalah rendah, cuaca buruk yang berlaku tetap berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang, dan laut bergelora di negeri-negeri terbabit.

"MetMalaysia akan mengemaskini nasihat dan amaran tersebut dari semasa ke semasa berdasarkan situasi terkini," maklumnya.

Selain itu, hujan berterusan tahap buruk turut diramalkan berlaku di daerah Sabak Bernam sehingga Selasa.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa memantau perkembangan cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, serta media sosial rasmi jabatan tersebut.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan melalui talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.