SHAH ALAM, 23 NOV: Agenda perumahan Selangor bukan sekadar menyediakan rumah, tetapi turut membina komuniti harmoni, kata EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah.
Beliau menjelaskan antara inisiatif utama ialah Skim Ceria yang memberi tumpuan kepada baik pulih serta penyelenggaraan infrastruktur kritikal.
Selain itu, Tabung Penyelesaian Strata diperkenalkan bagi membantu pemilik mengurus isu milikan hartanah sekali gus memastikan aset mereka terus terjamin, tambahnya.
“Skim Ceria melibatkan kerja menyenggara termasuk lif, mengecat bangunan dan baik pulih bumbung demi memastikan penduduk menikmati persekitaran selesa, teratur dan berdaya huni.

“Program seperti Rewang Komuniti dan inisiatif keselamatan serta pendidikan komuniti turut digerakkan untuk memperkasa hubungan kejiranan melalui gotong-royong, aktiviti kekitaan dan penyertaan aktif penduduk,” katanya merasmikan Selangor Property Expo 2025 yang berlangsung sejak Jumaat lalu di Central i-City, hari ini.
Sementara itu, Borhan berkata pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) termasu jenis Idaman dan Harapan serta pelaksanaan Skim Smart Sewa menjadi bukti komitmen negeri dalam membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan memudahkan pembeli, terutamanya golongan muda membuat pilihan rumah yang sesuai, sekali gus membolehkan rakyat menikmati kehidupan berkualiti dan persekitaran berdaya huni.
“Kerajaan Negeri memahami cabaran ketika ini. Anak muda berdepan masalah memiliki rumah pertama memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan harga rumah tinggi.

“Jadi kita tawarkan Rumah Selangorku. Dasar Rumah SelangorKu 3.0 turut ditambah baik termasuk kos penyelenggaraan percuma selama dua tahun selain yuran guaman dan kos pindah milik (MOT) percuma.
“Skim Smart Sewa pula merupakan sokongan kepada rakyat. Kos sewa ditawar pada kadar berpatutan malah 30 peratus daripada jumlah sewa yang dibayar akan dipulangkan sebagai deposit apabila mereka bersedia membeli rumah,” katanya.
Setakat Oktober, 142 projek Rumah Selangorku melibatkan 40,737 unit telah siap, manakala 37 projek lagi dengan 10,348 unit sedang dalam pembinaan.
Dalam masa sama, projek Rumah Idaman yang dilaksanakan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri turut mencatat kemajuan dengan 6,079 unit siap dan 7,755 unit lagi dalam pembinaan.




