SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melandan lima daerah di Selangor sehingga 7 malam ini.
MetMalaysia memaklumkan daerah terlibat ialah Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Amaran sama turut melibatkan Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain beberapa kawasan di negeri lain termasuk Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini merupakan amaran jangka pendek dan sah dalam tempoh maksimum enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan merujuk saluran rasmi MetMalaysia, termasuk laman sesawang, media sosial serta aplikasi myCuaca, bagi mendapatkan maklumat terkini dan tepat.





