SUBANG JAYA, 23 NOV: Hari Penjaja & Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2025 yang berlangsung Jumaat dan semalam mencatat sambutan luar biasa apabila jumlah kehadiran melepasi 15,000 pengunjung, jauh mengatasi sasaran awal.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pihaknya turut menjangkakan nilai jualan mencecah RM100,000 didorong penggunaan kupon digital percuma PLATS dan Peranti Sistem Titik Jualan(POS) yang memudahkan urusan jual beli sepanjang acara berlangsung.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Peniaga berpuas hati, ada yang habis jualan pada petang dan perlu tambah stok. Yayasan MBI melalui Platform Selangor (PLATS) membelanjakan RM8,000 untuk pemberian kupon digital bernilai RM10 kepada pengunjung.

“Saya yakin jumlah pengunjung melebihi 15,000. Pagi tadi (semalam) pun sudah ramai semasa Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan harga RM1 telur sepapan. Malam ini (malam tadi) pula dianjurkan konsert, jadi saya percaya jumlah keseluruhan jauh lebih besar,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Azri memaklumkan penganjuran HPPKS akan diteruskan pada tahun hadapan dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipilih sebagai tuan rumah.
“Susulan kemeriahan penganjuran tahun ini, HPPKS 2026 akan diadakan bersekali dengan sambutan peringkat kebangsaan pada November, dengan MBSA dipilih tuan rumah seterusnya.
“Saya yakin tahun depan kita akan buat lebih gempak, lebih ‘havoc’, dan lebih ramai peniaga akan mendapat peluang berniaga di platform besar seperti ini,” ujarnya.

Bertemakan “Penjaja & Peniaga Kecil Pemacu Ekonomi Digital Selangor”, penganjuran julung kali itu memberi penekanan kepada peningkatan penggunaan teknologi dan transaksi digital dalam kalangan peniaga kecil.
HPPKS dianjurkan melalui kerjasama MBI dan Agrobank, menghimpunkan 2,000 usahawan mikro dan kecil, 12 PBT serta agensi kerajaan, dengan sasaran kehadiran 15,000 pengunjung.
Program dua hari itu turut menyediakan ruang berniaga secara percuma kepada peniaga kecil bagi memasarkan produk, mendapatkan maklumat bantuan keusahawanan serta menyertai aktiviti pembangunan kapasiti.
Antara aktiviti menarik lain ialah Eco Free Market (agihan barangan terpakai secara percuma), jualan telur RM1 sepapan, pertunjukan helikopter akrobatik kawalan jauh, Dapur PLATS bersama Didie Alias serta pertandingan Cef Cilik dekorasi kek.
Acara turut menampilkan beberapa anugerah khusus termasuk Anugerah Kutipan Kupon Digital Terbanyak, Battle of the Best Staff serta Anugerah Penjaja Paling Bersih & Mesra Pelanggan.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan artis termasuk Black Hanifah, Afiq Adnan dan Astravella, selain cabutan bertuah dan pemberian kupon percuma PLATS bernilai RM10.









