BANTING, 28 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menyalurkan RM20,000 bagi menampung kerja membaik pulih bumbung Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Telok Datok yang rosak akibat kejadian ribut.
Ketuanya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan segera telah disalurkan sebelum ini bagi kerja pemulihan selepas sekolah tersebut terjejas akibat bencana pada 30 April lepas.
“Penyerahan cek cura hari ini adalah simbolik rasmi penyerahan bantuan, manakala dana untuk kerja baik pulih telah disalurkan sebelum ini. Kerja pembaikan telah selesai dan murid kini dapat meneruskan pembelajaran dalam keadaan selesa.

“Sumbangan ini menunjukkan komitmen Yayasan MBI membantu pihak yang terkesan akibat bencana, termasuk sekolah yang memerlukan bantuan segera untuk kerja pemulihan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan di sini, hari ini.
Ahmad Azri berkata Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat turut menyalurkan RM100,000 kepada sekolah berkenaan bagi tujuan pemulihan.
“Selain itu, sekolah juga akan menerima peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Kuala Langat, R Haridass berkata pihaknya membantu membawa permohonan dana sekolah tersebut kepada Yayasan MBI.
“Pihak sekolah dengan serta-merta memohon bantuan bagi kerja pemulihan akibat bencana itu.
“Yayasan MBI memudahkan proses permohonan dengan meminta beberapa dokumen sebelum dana disalurkan melalui akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar SJKT Telok Datok, R Ganesh berkata pihak sekolah dan PIBG merakamkan penghargaan kepada semua yang membantu proses pemulihan selepas kejadian itu.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika sesi persekolahan sedang berlangsung apabila murid dan guru menjalankan aktiviti kokurikulum.
“Keadaan cuaca yang agak luar biasa sebelum hujan dan ribut berlaku menyebabkan guru bertindak pantas mencari tempat perlindungan yang selamat untuk murid.
“Kami bersyukur kerana kerosakan hanya melibatkan bumbung dan beberapa struktur lain serta tidak menjejaskan keselamatan murid di sekolah ini,” katanya.







