ad

Fiesta kebudayaan, makanan warisan MBSJ perkukuh identiti budaya pelbagai etnik

23 Nov 2025, 12:30 AM
Fiesta kebudayaan, makanan warisan MBSJ perkukuh identiti budaya pelbagai etnik
Fiesta kebudayaan, makanan warisan MBSJ perkukuh identiti budaya pelbagai etnik
Fiesta kebudayaan, makanan warisan MBSJ perkukuh identiti budaya pelbagai etnik

SHAH ALAM, 23 NOV: Fiesta Kebudayaan dan Makanan Warisan MBSJ 2025 yang berlangsung selama dua hari di Subang Parade berperanan memperkukuh identiti budaya dan warisan seni pelbagai etnik di negeri ini.

Penganjuran kali kedua oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) itu juga menyokong agenda Tahun Melawat Selangor 2025 melalui penglibatan komuniti serta penyertaan usahawan tempatan.

MBSJ dalam kenyataan berkata, fiesta tersebut menghimpunkan 500 peserta merangkumi penggiat seni, belia, pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, komuniti setempat serta pelancong dalam dan luar negara.

Pertandingan yang diadakan turut menjadi pengiktirafan kepada peserta bengkel Tarian Nasi Ambeng dan koir anjuran MBSJ awal tahun ini.

"Pelbagai aktiviti disediakan termasuk pertandingan nyanyian irama Malaysia, pertandingan kompang berirama, pertandingan bercerita, persembahan artis jemputan Noraniza Idris, demonstrasi pemakaian busana tradisi, pameran busana kreatif dan promosi produk pelancongan jenama Helo Subang Jaya.

"Pengunjung turut menikmati edaran makanan warisan percuma, jualan makanan tradisional serta pameran agensi berkaitan kebudayaan dan pelancongan," menurut kenyataan itu.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Dato’ Johary Anuar, bersama Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Dato’ Seri Abd Rahim.

Fiesta Kebudayaan dan Makanan Warisan MBSJ 2025 terus menjadi platform berimpak tinggi dalam merapatkan hubungan masyarakat berbilang kaum, selain mengangkat Subang Jaya sebagai destinasi pelancongan budaya utama sempena Tahun Melawat Selangor 2025.