SHAH ALAM, 22 NOV: Seorang wanita warga Indonesia lemas di sebuah sungai di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan dipercayai dihanyutkan arus deras akibat kejadian kepala air.
Kejadian kira-kira jam 8.30 malam kelmarin mengorbankan wanita dikenali sebagai Yenni yang mayatnya ditemui orang awam kira-kira jam 4.15 pagi semalam, lapor Berita Harian.
Sebelum kejadian, mangsa bersama pemandu pacuan empat roda yang juga mandur sebuah ladang serta isteri lelaki itu dalam perjalanan pulang ke sebuah rumah kongsi di ladang.
Difahamkan, ketika melalui sebuah jambatan di kampung terbabit, secara tiba-tiba berlaku kejadian kepala air sehingga menyebabkan pacuan empat roda yang dinaiki mereka hanyut.
Ketiga-tiga mereka bertindak terjun dari pacuan empat roda terbabit melalui tingkap kenderaan kerana pintu tidak dapat dibuka.
Mandur dan isterinya selamat, namun mangsa ditemukan lemas kira-kira jam 4.15 pagi semalam dengan mayatnya terdampar kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.




