KEJADIAN KEPALA AIR DI SUNGAI SEDIM BERLAKU SANGAT PANTAS
KULIM, 18 JULAI: Kejadian kepala air yang mengorbankan tiga nyawa di Sungai Sedim di sini petang tadi berlaku dengan pantas tanpa disedari mangsa yang terlibat.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang tadi, seorang wanita Nur Atikah Abdullah, 28, sepupunya Muhammad Aariz Danial Md Radzi, 3, dan seorang lagi kanak-kanak Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, lemas selepas dihanyutkan arus deras.
Menurut Nur Arif Shukri, 26, iaitu adik kepada Nur Atikah, kejadian itu berlaku ketika keluarganya meraikan ulang tahun ketujuh anak sulung kakaknya Nur Atiya Sofiya Shazwan.
“Kami sekeluarga, iaitu 10 orang ahli keluarga berada di kawasan rekreasi itu untuk menyambut hari lahir anak saudara saya.
“Ketika baharu selesai makan, kakak saya memberitahu dia nampak kepala air dan tiba-tiba arus menjadi deras. Ketika itu, lapan daripada kami sedang mandi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nur Arif Shukri berkata kejadian berlaku sangat pantas, namun beliau sempat menarik dua adiknya yang berusia 12 dan lima tahun serta memeluk mereka sebelum terpisah akibat arus deras.
Kedua-dua adiknya itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala beliau sempat berpaut pada ranting pokok sebelum berjaya naik ke tebing sungai.
Nur Arif Shukri berkata ketika kejadian, beliau ternampak kakaknya berada di tebing sungai dan menyangka wanita itu sudah selamat sebelum turut dihanyutkan arus deras.
Dalam kejadian petang tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.27 petang membabitkan fenomena kepala air di pusat rekreasi Sedim Rainforest Resort di sini.
-- BERNAMA







