SHAH ALAM, 22 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang merancang untuk membentuk sebuah entiti pelaburan negeri seumpama “Khazanah Selangor”, setelah struktur dan tadbir urus Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI diperkukuhkan.
Dalam podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, beliau ditanya mengenai persepsi lama bahawa MBI sering dikritik berhubung ketelusan dan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan.
Menjawab soalan itu, Amirudin berkata MBI kini berada dalam keadaan lebih kukuh selepas proses penstrukturan dan pemerkasaan tadbir urus dilakukan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“MBI baru sahaja diberikan pengiktirafan oleh pihak ESG Malaysia sebagai sebuah institusi yang mempunyai jaminan tadbir urus dan integriti yang baik.
“Kita juga mempunyai hubungan yang baik dengan SPRM, yang memberikan garis panduan kepada syarikat seperti MBI dan meneliti sehingga mengiktiraf bahawa prosedur dan garis panduan itu menepati syarat ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada mantan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek, yang menitikberatkan pembinaan ekosistem tadbir urus MBI.
Menurut Amirudin, beberapa isu lama termasuk struktur syarikat, urusan percukaian serta perjanjian tertentu telah diperbetulkan terlebih dahulu sebelum negeri bergerak ke agenda lebih besar.
“Struktur itu kita betulkan sampai kita nak membentuk satu Khazanah Selangor nanti, yang mana kita boleh menggunakan rizab dan tabungan kita.
“MBI adalah salah satu platform yang boleh digunakan pada masa hadapan untuk perancangan itu,” katanya.




