Hari ini, 21 November pada 1967, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, menyempurnakan pentauliahan tiga kapal penggempur laju milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pelabuhan Klang.
Majlis pentauliahan itu dihadiri pegawai-pegawai kerajaan, anggota TLDM serta tetamu rasmi, menjadikan acara tersebut antara majlis ketenteraan laut paling bersejarah pada era itu.
Ketiga-tiga kapal yang dilancarkan ialah K.D. Pendekar, K.D. Handalan, dan K.D. Gempita.
Kapal terpantas dan berprestasi tinggi
Kapal-kapal tersebut menarik perhatian kerana reka bentuknya yang moden, selain prestasi kelajuannya.
Dibina dengan kos sekitar $6 juta (RM248 juta), ia mampu mencapai kelajuan sehingga kira-kira 96 kilometer sejam, menjadikannya antara kapal penggempur terpantas di dunia ketika itu.
Keupayaan itu memberikan TLDM kelebihan taktikal dalam operasi laut pantas, sekali gus memperkukuh pertahanan negara.
Kapal pelbagai fungsi
Selain kelajuan, kapal-kapal berkenaan direka secara serbaguna yang boleh menjalankan pelbagai fungsi ketenteraan termasuk sebagai kapal pembedil, kapal pemasang periuk api dan kapal pembawa torpedo.
Keupayaan serbaguna itu membolehkan TLDM menghadapi pelbagai bentuk ancaman dengan lebih efektif.
Visi pengembangan armada TLDM
Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya ketika itu menekankan visi kerajaan untuk mengembangkan armada TLDM secara berperingkat.
Ketika itu, TLDM hanya memiliki 40 buah kapal dengan kira-kira 3,000 anggota. Namun, sasaran jangka panjang kerajaan untuk membangunkan TLDM menjadi armada yang lebih lengkap dengan sekitar 200 kapal dari pelbagai kelas bagi memastikan keselamatan negara dipertahan secara optimum.
Perkukuh keselamatan perairan negara
Peningkatan aset TLDM bukan sahaja memperkuatkan kemampuan pertahanan, tetapi memastikan keselamatan perairan negara yang luas.
Kehadiran kapal-kapal baru itu membantu memperkukuh rondaan, mengekang ancaman pencerobohan, membanteras penyeludupan dan memberi perlindungan lebih berkesan kepada komuniti nelayan.
Asas pembangunan TLDM
Peristiwa ini terus diiktiraf sebagai satu detik penting dalam sejarah TLDM untuk menonjolkan wawasan Tunku Abdul Rahman dalam membangunkan keselamatan negara termasuk pelaburan awal kepada armada laut yang moden.
Malah, ia menjadi asas kepada pembangunan TLDM seperti dikenali hari ini dan sebagai simbol komitmen awal kerajaan dalam memperkukuh keselamatan maritim negara.




