APA ITU SELAT HORMUZ?
Selat Hormuz terletak di antara Oman dan Iran. Bagi dunia ia bukan sekadar laluan laut tetapi nadi utama yang menggerakkan bekalan minyak dan tenaga global dari Teluk Parsi ke Laut Arab.
Pada titik paling sempit, lebar selat ini berukuran kira-kira 33 kilometer (21 batu), tetapi laluan sebenar yang dilalui kapal hanya kira-kira 3 kilometer bagi setiap arah.
Laluan ini cukup sempit sehingga setiap pergerakan kapal di sini membawa kesan kepada harga minyak, kos barang, dan kehidupan harian rakyat di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Selat Hormuz mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia, bersamaan sekitar 21 juta tong sehari, selain hampir 20 peratus bekalan gas asli cecair (LNG) global.
Negara-negara di seberang Teluk Parsi berhadapan Iran termasuk Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain dan Qatar merupakan antara pengeluar utama minyak dunia.

Namun, selat ini menjadi laluan utama bagi kapal tangki membawa bekalan tersebut ke pasaran global, sekali gus menjadikannya antara “titik sempit” (choke point) paling strategik dalam perdagangan tenaga dunia.
Terletak di antara Iran di utara serta Oman dan Emiriah Arab Bersatu di selatan, Selat Hormuz mempunyai lebar antara kira-kira 33 hingga 96 kilometer.
Kedudukannya yang berhampiran daratan meningkatkan lagi risiko terhadap sebarang gangguan di selat berkenaan.
Selat Hormuz juga sering menjadi tumpuan ketegangan geopolitik termasuk ancaman sekatan oleh Iran, manakala Armada Kelima Amerika Syarikat yang berpangkalan di Bahrain berperanan melindungi perkapalan komersial di kawasan tersebut.
SIAPA BERGANTUNG KEPADA SELAT HORMUZ?
Mengikut data Bloomberg, kira-kira 16.5 juta tong minyak mentah sehari diangkut melalui Selat Hormuz pada 2024, melibatkan eksport dari Arab Saudi, Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Iran.
Sementara itu, data Vortexa menunjukkan antara awal 2022 hingga bulan lalu, sekitar 17.8 juta hingga 20.8 juta tong minyak mentah, kondensat dan bahan api mengalir melalui selat itu setiap hari.
Negara anggota OPEC seperti Arab Saudi, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Iraq mengeksport sebahagian besar minyak mentah mereka melalui laluan ini, terutamanya ke Asia.
Qatar pula, sebagai antara pengeksport LNG terbesar dunia, menghantar hampir semua bekalannya melalui selat yang sama.

Arab Saudi merupakan pengeksport minyak terbesar melalui Selat Hormuz. Namun, negara itu mempunyai alternatif dengan menggunakan saluran paip sepanjang 1,229 kilometer merentasi negaranya ke terminal di Laut Merah, sekali gus membolehkannya mengelakkan Selat Hormuz dan laluan di selatan Laut Merah.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula boleh mengeksport sebahagian minyak mentahnya tanpa bergantung kepada selat tersebut, dengan menyalurkan kira-kira 1.5 juta tong sehari melalui saluran paip ke pelabuhan Fujairah di Teluk Oman.
Bagi Iraq, semua eksport minyak kini dihantar melalui laut dari pelabuhan Basra dan melalui Selat Hormuz, selepas saluran paip ke Mediterranean ditutup, menjadikannya sangat bergantung kepada laluan ini. Kuwait, Qatar dan Bahrain juga tidak mempunyai alternatif lain selain menggunakan selat berkenaan.
Kebanyakan minyak yang melalui Selat Hormuz dihantar ke Asia. Iran turut bergantung kepada laluan ini untuk eksport minyaknya, walaupun mempunyai terminal di Jask di hujung timur selat tersebut, yang mula beroperasi pada Julai 2021.
BAGAIMANA KONFLIK ASIA BARAT CETUS KENAIKAN HARGA BARANG DI MALAYSIA?
Kenaikan harga barang di Malaysia susulan konflik di Asia Barat setakat Mac 2026 berpunca daripada gangguan rantaian bekalan global yang meningkatkan kos operasi perniagaan.
Konflik ini turut mendorong lonjakan harga tenaga seperti minyak dan diesel dan harga baja. Ia sekali gus menekan kos logistik dan meningkatkan risiko inflasi makanan.
Keadaan ini memberi kesan langsung kepada kos sara hidup dan menuntut langkah penjimatan serta semakan subsidi kerajaan.

Harga minyak mentah Brent melonjak daripada sekitar AS$70 kepada hampir AS$120 setong dalam tempoh singkat.
Walaupun harga RON95 dikekalkan pada RM1.99 melalui subsidi, kos bahan api bagi sektor industri dan pengangkutan komersial tetap meningkat menyebabkan peniaga memindahkan kos kepada pengguna.
Pada masa sama, gangguan di Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia turut menjejaskan aliran bekalan tenaga global.
Malaysia mengimport hampir 50 peratus bekalan minyaknya melalui laluan ini untuk ditapis, menyebabkan gangguan bekalan serta peningkatan kos insurans dan logistik kapal tangki.
Konflik turut menjejaskan pengeluaran baja global, sekali gus mendorong kenaikan harga baja di Asia Tenggara. Peningkatan kos input ini memberi kesan kepada harga makanan asas seperti sayur-sayuran, beras, ayam dan telur di pasaran tempatan.
Keadaan ini menyumbang kepada inflasi tolakan kos, apabila kenaikan kos pengangkutan dan utiliti mendorong kenaikan harga barang secara menyeluruh. Penganalisis menjangkakan kadar inflasi Malaysia boleh meningkat sehingga 2.2 peratus jika konflik berlarutan.
Pada masa sama, bil subsidi bahan api kerajaan meningkat daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion sebulan, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara dan menjejaskan kuasa beli rakyat.
MENGAPA HARGA MINYAK DUNIA NAIK?
Ancaman penutupan Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia, menyebabkan pasaran menjangkakan kekurangan bekalan secara mendadak.
Selain itu, serangan terhadap infrastruktur tenaga, termasuk kemudahan Aramco di Ras Tanura, memaksa penghentian pengeluaran sementara dan mengurangkan stok minyak global.
Ketidaktentuan ini turut mendorong pelabur mengenakan premium risiko, sekali gus meningkatkan harga minyak. Dalam keadaan bekalan terancam, syarikat tenaga pula berebut mendapatkan sumber yang lebih stabil, yang terus menolak harga ke paras lebih tinggi.

SIAPA MENENTUKAN HARGA MINYAK?
Di peringkat global, harga minyak ditentukan secara masa nyata melalui aktiviti jual beli di pasaran komoditi antarabangsa, berdasarkan penanda aras seperti Brent Crude dan West Texas Intermediate (WTI).
Selain itu, OPEC+ gabungan negara pengeluar minyak termasuk Arab Saudi, Rusia dan Malaysia sebagai rakan kerjasama mempengaruhi harga dengan menyelaras kuota pengeluaran bagi mengimbangi permintaan dan penawaran.
Faktor geopolitik juga memainkan peranan apabila kenyataan pemimpin dunia dan jangkaan pasaran oleh institusi kewangan boleh menggerakkan harga dalam tempoh singkat.
Di Malaysia, harga runcit petroleum ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) setiap minggu berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM). Kerajaan turut menentukan tahap subsidi bagi mengawal harga, termasuk mengekalkan RON95 pada RM1.99 seliter di bawah inisiatif BUDI95.
Dalam masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) memantau pematuhan harga dan memastikan tiada pencatutan oleh peniaga.











