Krisis bekalan minyak dunia: Mengapa Malaysia turut terjejas?

30 Mac 2026, 1:00 AM
Krisis bekalan minyak dunia: Mengapa Malaysia turut terjejas?
Krisis bekalan minyak dunia: Mengapa Malaysia turut terjejas?
Krisis bekalan minyak dunia: Mengapa Malaysia turut terjejas?
Krisis bekalan minyak dunia: Mengapa Malaysia turut terjejas?

Kenaikan harga minyak susulan konflik di Asia Barat kini semakin dirasai rakyat Malaysia, sekali gus mencetuskan persoalan mengapa negara pengeluar petroleum seperti Malaysia turut terkesan?

Hakikatnya, kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global menjadikan negara tidak terkecuali daripada tempias ketidaktentuan pasaran minyak dunia.

Apa punca dan bagaimana kerajaan menanganinya, berikut penjelasan dalam bentuk soal jawab disusun wartawan NADIAH ZAMLUS berdasarkan kenyataan rasmi Pejabat Perdana Menteri serta laporan agensi berkaitan:

Mengapa berlaku gangguan bekalan minyak global?

Gangguan bekalan berpunca daripada konflik berpanjangan di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.

Ketegangan memuncak selepas serangan AS ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang kemudian dibalas dengan serangan terhadap Israel dan kepentingan AS di rantau berkenaan.

Pandangan udara pesisir Iran dan Pelabuhan Bandar Abbas di Selat Hormuz, dirakam pada 10 Disember 2023. Foto REUTERS

Situasi ini memberi kesan besar kepada laluan strategik Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.

Apabila Iran memberi isyarat kawalan lebih ketat ke atas laluan tersebut, pasaran global mula terjejas sekali gus menyebabkan bekalan minyak menjadi tidak menentu dan harga meningkat.

Bagaimana kesannya kepada Malaysia?

Malaysia turut terkesan kerana hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz.

Sebarang gangguan di laluan ini akan terus memberi tekanan kepada harga minyak global, yang akhirnya mempengaruhi kos bahan api dalam negara.

Malah, negara seperti Filipina dan Vietnam lebih terdedah kerana bergantung hampir sepenuhnya kepada import bahan api dari rantau Teluk Parsi.

Tuk-tuk beratur untuk mengisi LPG dan petrol di sebuah stesen minyak di Phnom Penh, Kemboja, susulan konflik antara Amerika Syarikat - Israel dengan Iran pada 24 Mac 2026. Foto REUTERS

Malaysia pengeluar minyak, kenapa masih terkesan?

Walaupun Malaysia menghasilkan kira-kira 570,000 tong minyak mentah sehari, negara sebenarnya masih pengimport bersih minyak mentah.

Data menunjukkan Malaysia mengimport minyak bernilai sekitar AS$12.6 bilion, jauh lebih tinggi berbanding eksport sekitar AS$5.5 bilion.

Fendi Ismail, 36, mengisi petrol RON95 dengan harga RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Stesen Petronas Seksyen 7, Shah Alam pada 30 Semptember 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, struktur industri juga memainkan peranan. Malaysia mengeksport minyak mentah ringan dan rendah sulfur, tetapi mengimport minyak mentah gred lebih berat yang lebih sesuai untuk proses penapisan domestik.

Kebergantungan ini menyebabkan Malaysia tetap terdedah kepada turun naik harga global.

Adakah bekalan minyak negara mencukupi?

Setakat ini, bekalan petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara kekal stabil dan mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan bahawa situasi bekalan Malaysia lebih stabil berbanding beberapa negara lain.

Selain itu, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) memaklumkan kestabilan ini disokong oleh sumber bekalan yang pelbagai serta kemudahan penyimpanan strategik seperti Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Seorang pemandu kenderaan mengisi minyak di stesen Petronas di Kuala Lumpur pada hari pertama pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95, 30 September 2025. Foto BERNAMA

Apa langkah kerajaan tangani situasi ini?

Kerajaan mengambil beberapa langkah bagi memastikan kestabilan bekalan dan melindungi pengguna, antaranya:

  • selaras sementara kuota program BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan

  • kekalkan subsidi bahan api untuk majoriti rakyat

  • larang penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing

  • kawal penjualan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan mengikut kategori kenderaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini diambil sebagai pendekatan bersasar bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran minyak global.

Sebuah kapal tangki minyak terbakar di Selat Hormuz dalam gambar fail tanpa tarikh daripada Reuters.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.