SHAH ALAM, 21 NOV: Usahawan luar bandar bakal diperkasa melalui program baharu Seri Selangor di bawah konsep SMART Desa bagi membuka peluang produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
EXCO Kemajuan Desa dan Luar Bandar, Datuk Rizam Ismail berkata program yang bermula tahun depan itu berteraskan empat komponen utama iaitu sosial, akademik, ketahanan dan inovatif.
“Program pemangkin ini merentasi sembilan daerah dengan menumpukan beberapa bidang termasuk infrastruktur, kelestarian landskap, modal insan, kampung digital, geran mikro usahawan dan kesiapsiagaan bencana.
“Kerajaan Negeri merancang memperkasa usahawan desa bagi memastikan produk mereka bukan sahaja dipasarkan dalam Malaysia tetapi luar negara, dengan ilmu pengetahuan lengkap termasuk pembungkusan dan jualan dalam talian,” katanya.
Rizam berkata demikian menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bukit Melawati, Dato’ Noorazley Yahya mengenai usaha memperkukuh sektor keusahawanan luar bandar pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menurut beliau, projek SMART Desa di bawah Dokumen Pelan Halatuju Strategik Desa Selangor 2035 akan diperluaskan ke lebih banyak daerah bagi memastikan pembangunan seimbang di kawasan desa.
“Menerusi inisiatif pusat SMART Desa, kita telah wujudkan pusat SMART Desa dan buat masa ini lima daerah terlibat iaitu Kuala Langat, Sabak Bernam, Ampang, Petaling dan Klang.
“Dengan inisiatif ini, kemudahan balai raya di kampung dibaik pulih dan diberikan nafas baharu bagi menjalankan aktiviti seharian penduduk termasuk elemen infrastruktur internet percuma,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan program SMART Desa bukan sahaja merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, malah menjadikan komuniti desa sebahagian daripada ekosistem ekonomi moden dan lestari.


