Selangor perluas usaha tangani buli, fokus kes kecelaruan seksual pelajar - MB

21 Nov 2025, 3:21 AM
Selangor perluas usaha tangani buli, fokus kes kecelaruan seksual pelajar - MB
Selangor perluas usaha tangani buli, fokus kes kecelaruan seksual pelajar - MB

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri memperluas usaha menangani gejala buli di sekolah dengan turut memberi tumpuan kepada kes kecelaruan seksual dalam kalangan pelajar, bukan hanya insiden berkaitan jenayah, mental atau fizikal.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan itu diberi berikutan wujud kes berkaitan kecelaruan seksual, khususnya di sekolah satu gender dan sekolah berasrama.

“Langkah diambil ini bukan hanya aspek pembulian mental dan fizikal, pembunuhan dan aktiviti jenayah tetapi turut melibatkan beberapa aktiviti yang boleh dianggap kecelaruan seksual dalam kalangan pelajar.

“Ini kerana kes-kes yang berlaku pada masa kini tidak hanya dipengaruhi rakan sebaya atau digerakkan individu atau kumpulan sebaliknya melibatkan peranti-peranti digital atau media sosial.

"Oleh itu, Kerajaan Negeri ambil perhatian setiap isu terutamanya melibatkan sekolah jenis satu gender dan sekolah berasrama,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah mengenai langkah Kerajaan Negeri menangani isu buli yang semakin kompleks.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai pendekatan pencegahan termasuk kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) melalui latihan minda sihat kepada guru kaunseling dan pembimbing rakan sebaya di seluruh daerah.

Katanya, guru disiplin, kaunseling dan pentadbiran turut diberi kemahiran mengenal pasti punca buli serta kaedah menanganinya secara beretika sambil memupuk budaya sekolah selamat.

“Kerajaan Negeri juga turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menempatkan pegawai perhubungan di semua sekolah menengah dan rendah dengan menjalankan pemeriksaan mengejut selain rondaan keselamatan secara berkala.

“Kelab pencegahan jenayah juga akan diperkasa dan pendidikan etika digital, buli siber serta keselamatan dalam talian turut diberikan kepada pelajar, guru dan ibu bapa,” katanya.