SHAH ALAM, 21 NOV: Dua premis industri yang beroperasi tanpa kebenaran diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam satu operasi bersepadu di Jeram, Kuala Selangor, kelmarin.
Operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 petang itu disertai 42 anggota MPKS bersama beberapa agensi teknikal termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Premis yang diserbu ialah sebuah kilang memproses tayar terpakai dan sebuah kilang memproses batu-bata.
Menurut MPKS, pemeriksaan mendapati kedua-dua kilang melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang termasuk gagal mematuhi notis terdahulu serta mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis MPKS.
“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Jabatan Kesihatan & Persekitaran MPKS turut melaksanakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil PTPP (MDKS) 2007 berkaitan isu kebersihan, pelepasan kumbahan serta kacau ganggu habuk dan bunyi,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, notis turut dikeluarkan di bawah Seksyen 82(5) Akta 133 berkaitan aktiviti yang menyebabkan kacau ganggu kepada persekitaran.
JAS pula mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk siasatan lanjut berkaitan pelepasan udara.
Air Selangor turut memotong dan merampas meter air selepas kelulusan SPAN diperoleh, manakala TNB Kuala Selangor melakukan semakan pemilikan meter untuk proses pengeluaran notis pemotongan bekalan elektrik mengikut prosedur.
“Melalui operasi ini, MPKS berjaya melaksanakan dua tindakan penutupan premis serta mengeluarkan empat kompaun membabitkan pelbagai peruntukan undang-undang tempatan.
“Secara keseluruhan, sebanyak 17 peralatan industri disita termasuk forklift, mesin pemampat, mesin kompresor, alat pengangkat elektrik, mesin pemotong besi, peralatan kimpalan dan beberapa mesin lain yang digunakan dalam proses pengeluaran kilang,” katanya.
MPKS menegaskan bahawa tindakan bersepadu seperti ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan aktiviti industri di daerah Kuala Selangor mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan industri berlaku secara terkawal, selamat dan berpaksikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan,” jelas kenyataan itu.


