RS-2, pelan pembangunan jangka panjang pacu daya saing Selangor - MB

21 Nov 2025, 1:30 AM
RS-2, pelan pembangunan jangka panjang pacu daya saing Selangor - MB
RS-2, pelan pembangunan jangka panjang pacu daya saing Selangor - MB

SHAH ALAM, 21 NOV: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang juga pelan pembangunan jangka panjang Selangor dan pengukuhan hubungan perdagangan dengan pasaran Asean, bakal menjadi teras utama dalam mempertingkat daya saing ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata negeri itu perlu meningkatkan strategi ekonomi dengan mengambil pendekatan serantau bagi membolehkan Selangor memanfaatkan peluang lebih luas di Asia Tenggara.

“Cabaran kita sekarang ialah bagaimana untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Untuk lonjakan itu, kita perlu berfikir pada tahap serantau,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor (SIAA) 2023-2024 di Pusat Konvensyen Setia City, malam tadi.

Menurut Amirudin, ketidaktentuan global dan perubahan geopolitik menuntut Selangor memperkukuh kerjasama pelbagai hala, mempelbagaikan pasaran eksport serta memanfaatkan rangka kerja di peringkat Asean.

Beliau turut menekankan peluang baharu hasil Kepengerusian Asean oleh Malaysia baru-baru ini yang membuka laluan kepada perjanjian perdagangan, inisiatif ekonomi digital serta komitmen tenaga boleh baharu.

Malaysia menamatkan penggal kepengerusian Asean 2025 pada 28 Oktober 2025 dengan menyerahkan jawatan itu secara rasmi kepada Filipina. Foto BERNAMA

“Selangor akan meneroka dan memanfaatkan peluang besar yang wujud melalui Kepengerusian Asean oleh Malaysia. Usaha ini seiring misi kita mengukuhkan kedudukan strategik Selangor dalam rantau ini,” katanya.

Beliau menggalakkan syarikat tempatan yang berhasrat mengembangkan perniagaan ke negara Asean supaya bekerjasama dengan Invest Selangor Berhad yang bersedia membantu meneroka pasaran serantau bermula tahun depan.

“Saya gembira dapat bersama para pelabur yang telah menggerakkan denyut nadi ekonomi Selangor dalam tempoh dua tahun ini. SIAA 2023-2024 menjadi bukti pencapaian cemerlang dan komitmen anda semua,” katanya.

RS-2 dibentang pertengahan tahun depan

Amirudin memaklumkan RS-2 yang akan dibentangkan pertengahan tahun depan bakal menetapkan hala tuju sosioekonomi negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, beliau berkata Selangor merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM51.9 bilion menerusi 1,470 projek dari Januari hingga September tahun ini, mewakili 30 peratus daripada jumlah pelaburan negara dan kedua tertinggi selepas Johor.

Pencapaian itu, katanya, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap Selangor sebagai destinasi pelaburan jangka panjang terkemuka di Malaysia.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menaiki trem ke majlis pelancaran Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Projek strategik dan ‘Speed Selangor’ pacu pelaburan

Antara projek utama yang menjadi tonggak Belanjawan Selangor 2026 termasuk Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan Selangor (Idriss), Sabak Bernam Development Area (Sabda), Selangor Maritime Gateway (SMG), hab automotif dan rel Serendah–Lembah Beringin serta tujuh Taman Perindustrian Terurus (MIP) merangkumi 1,500 hektar.

Selain itu, dasar Speed Selangor yang dilancar bulan lalu dijangka menguntungkan pelabur dengan mempercepat proses kelulusan perniagaan daripada tiga bulan kepada hanya 14 hari.

Bagi projek yang telah memperoleh Sijil Siap dan Pematuhan (CCC), pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan lesen dalam tempoh 24 jam.

Speed Selangor akan mula dilaksanakan dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa serta semikonduktor sebelum diperluas ke semua sektor.