KUALA LUMPUR, 4 Nov: Penurunan nilai potensi urus niaga Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 kepada RM8.17 bilion berbanding sasaran RM10 bilion bukan sesuatu yang mengejutkan, kata Dato’ Menteri Besar Selangor.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan, situasi itu berpunca daripada perubahan format penganjuran yang kembali kepada satu siri sahaja tahun ini, berbanding dua siri pada tahun lalu yang menawarkan tempoh pameran lebih panjang dan penyertaan lebih besar.
“Nilai urus niaga yang lebih rendah sudah dijangka kerana tahun lalu kita adakan SIBS dua kali. Tempohnya lebih panjang dan jumlah peserta pameran juga berganda.
“Jika kita kekalkan format sama tahun ini, nilai urus niaga boleh mencecah RM16 bilion,” katanya selepas menghadiri Majlis Penghargaan Media SIBS anjuran Invest Selangor Berhad, hari ini.
Tahun lalu, SIBS mencatat nilai potensi urus niaga sebanyak RM13.86 bilion menerusi dua siri penganjuran.
Namun, edisi tahun ini hanya merekodkan RM8.17 bilion, lebih rendah daripada sasaran awal RM10 bilion.
Menurut Amirudin, penurunan itu turut dipengaruhi keputusan Kerajaan Negeri mengurangkan ruang pameran sektor makanan dan minuman (F&B) bagi memberi laluan kepada industri baharu.
“Sebahagian ruang F&B dikurangkan bagi memberi tempat kepada sektor ekonomi penjagaan (care economy) dan subsektor lain.
“SPARK (Selangor Investment and Industrial Park Expo) menunjukkan transaksi yang sangat baik, tetapi jika ruang besar F&B dikekalkan seperti sebelum ini, nilai urus niaga pasti lebih tinggi.
“Namun, fokus kita kini pada kualiti dan penerokaan bidang baharu seperti ekonomi penjagaan,” katanya.
Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) turut diperkenalkan buat kali pertama dalam SIBS tahun ini.
Bagaimanapun, Amirudin menegaskan nilai urus niaga yang lebih rendah tidak mencerminkan kemerosotan prestasi, sebaliknya menunjukkan peralihan fokus ke arah industri berimpak tinggi untuk pertumbuhan jangka panjang Selangor.
“Matlamat utama kita ialah memperkenalkan dan memperkukuh pelbagai industri. Misalnya, selain mengekalkan sektor F&B, kita turut memperluas sektor elektrikal dan elektronik (E&E) serta subsektor lain yang selaras dengan pelan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau menambah, beberapa sektor utama seperti lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang, air, elektrik dan perkhidmatan turut berpotensi besar untuk diterokai dalam penganjuran SIBS akan datang.








