RS-2 dirangka hadapi krisis global, perkukuh ekonomi Selangor

23 Apr 2026, 12:31 AM
RS-2 dirangka hadapi krisis global, perkukuh ekonomi Selangor

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerangka Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk tempoh lima tahun akan datang mengambil kira kesan krisis global termasuk ketegangan geopolitik yang memberi impak kepada ekonomi dunia.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi semasa termasuk krisis di Asia Barat serta krisis tenaga memerlukan pendekatan baharu yang lebih berdaya tahan dan adaptif.

"Di antara pendekatan baharu yang diambil dalam RS-2 ialah berorientasikan misi yang telah menjadi 'hallmark' pakar ekonomi seperti Mariana Mazzucato," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Showcase Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Dewan Negeri Selangor di sini, semalam.

Tambah Amirudin, RS-2 juga akan memfokuskan untuk mendalami dasar baharu yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

"Misalnya daripada segi ekonomi, keberkesanan Speed Selangor untuk mengoptimumkan urusan pelaburan di Selangor. Selepas itu kita akan menggerakkan Speed Selangor Rakyat di peringkat pihak berkuasa tempatan," jelasnya.

Jelas beliau, aspek penjagaan ekonomi turut diberi penekanan bagi memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.

"Kelestarian akan menjadi tunjang juga dalam RS-2 di samping meneroka peluang-peluang baru," katanya.

Katanya lagi, beberapa penyesuaian akan dibuat untuk pelan pemulihan memandangkan krisis tenaga ini dijangka berlanjutan sekurang-kurangnya setahun daripada sekarang.

"Kita juga sedang merangka RS-2 dengan semangat dan situasi yang hampir sama. Menepati situasi yang sangat berbeza tetapi kesan ekonomi yang hampir sama.

“Dan bagaimana RS-2 juga beradaptasi dan mampu mengekalkan keutuhan, kemampanan ekonomi negeri Selangor sebagaimana yang telah dicapai pada tahun-tahun sebelum ini," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.