ad

EXCO: Selangor teliti setiap pelaburan sebelum laksana projek

19 Nov 2025, 10:46 AM
EXCO: Selangor teliti setiap pelaburan sebelum laksana projek
EXCO: Selangor teliti setiap pelaburan sebelum laksana projek
EXCO: Selangor teliti setiap pelaburan sebelum laksana projek
EXCO: Selangor teliti setiap pelaburan sebelum laksana projek

SHAH ALAM, 19 NOV: Selangor tidak ghairah melaksana projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), kata EXCO kemajuan desa dan luar bandar.

Menurut Datuk Rizam Ismail, sebaliknya, setiap pelabur terlibat dengan projek yang dilaksana diteliti terlebih dahulu supaya setiap pembangunan di anjung utara Selangor itu berjaya.

"Gambaran berhubung projek strategik berskala besar ini gagal tidak benar kerana menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri memastikan setiap projek berjalan lancar sekali gus menjaga warisan.

"Syarikat yang dipilih untuk melaksanakan projek ini mempunyai kemampuan dan selari dengan hasrat pembangunan SABDA itu di dalam meningkatkan potensi ekonomi tempatan ke tahap lebih tinggi," katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail ketika sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor pada 24 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

RS-1 menjadi kerangka utama membentuk ekonomi mampan bagi mengukuhkan kesejahteraan rakyat, termasuk hasrat menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Selain SABDA, projek itu turut melibatkan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) sebagai langkah berdepan ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan.

Sementara itu, RS-2 yang dijangka dibentang Jun tahun depan, membawa beberapa agenda baharu termasuk usaha membawa negeri ke arah status bandar metropolitan menjelang 2029 serta meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam di antara utara dan selatan Selangor.

Dalam pada itu, Rizam memaklumkan Kerajaan Negeri dalam proses mendapatkan pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO yang mana Dossier yang disediakan penyelidik akan siap penghujung November ini.

"Kita sedia kemukakan pencalonan di kawasan seluas 432,751 hektar meliputi sebahagian besar Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

"Inisiatif ini akan memelihara khazanah biodiversiti dan menjamin keseimbangan ekosistem ke arah pembangunan eko-agropelancongan lestari berasaskan alam semula jadi," katanya.