SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor meneruskan Pembangunan Komprehensif Lembah Klang Raya Selangor (SGKV) dengan peruntukan RM3 juta, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata inisiatif merangkumi empat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu diteruskan bagi meningkatkan daya saing, kecekapan tadbir urus, dan kesejahteraan bandar raya di Selangor.
"Kerajaan Negeri meneruskan tekad memperkukuh pembangunan pentadbiran bersepadu menerusi inisiatif SGKV yang merangkumi empat PBT bertaraf bandar raya iaitu Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Klang.
"Selangor juga turut meluluskan cadangan penubuhan Perbadanan Metropolitan Selangor melalui enakmen khas yang sedang disemak Kamar Penasihat Undang-undang Selangor untuk dibentangkan dalam sidang Dewan akan datang tertakluk kepada kelulusan Jabatan Peguam Negara.
"Penubuhan perbadanan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih terancang, efisien dan berdaya tahan selari dengan aspirasi Selangor sebagai negeri pintar dan progresif tanpa menjejaskan mana-mana tanggungjawab PBT," katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.
Sebelum ini, Amirudin berkata empat bandar raya yang digabung menjadi Lembah Klang Raya mampu bersaing dan dibanding dengan kota utama Asia menerusi penyediaan kualiti infrastruktur fizikal dan digital.
Jelasnya, gabungan Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang menjadi model metropolitan untuk memperkukuh ketersambungan ekonomi dan fizikal.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan Dasar SPEED Selangor yang dilancar Oktober lalu telah diseragamkan di 12 PBT seluruh Selangor bagi meningkatkan keyakinan pelabur selain merealisasikan aspirasi negeri sebagai mesra pelaburan.
"SPEED Selangor bertujuan mempercepat dan mempermudah proses kelulusan pembangunan serta pelesenan perniagaan daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek industri dan komersial yang strategik dan berimpak tinggi," ujarnya.




