PETALING JAYA, 20 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus memperkukuh peranannya sebagai bandar mesra kanak-kanak melalui Ekspo Bandar Mesra Kanak-Kanak Antarabangsa Petaling Jaya yang menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi berkongsi idea dan amalan terbaik.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata lebih 90 peratus kanak-kanak di Selangor tinggal di kawasan bandar, menjadikan isu keselamatan, reka bentuk bandar dan persekitaran urban sebagai aspek penting untuk kesejahteraan generasi akan datang.

“Bandar yang tidak mengambil kira keperluan kanak-kanak boleh menjejaskan asas masa depan mereka. Sebaliknya, bandar yang direka berpaksikan kanak-kanak menjadi lebih inklusif, sihat dan berdaya tahan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap di Hotel Hilton, Petaling Jaya, hari ini.
Beliau menekankan Selangor terus memperkukuh ekosistem pembangunan kanak-kanak melalui dasar berimpak tinggi, termasuk Dasar dan Pelan Tindakan Pembangunan Kanak-Kanak Selangor 2022–2025 serta Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor, yang menekankan model penjagaan komuniti dan sokongan kepada keluarga serta ibu bapa bekerja.
Berlangsung hari ini hingga Sabtu, ekspo dengan kerjsama UNICEF Malaysia menampilkan pembentangan antarabangsa, sesi panel, latihan praktikal, dan lawatan ke lokasi mesra kanak-kanak di Petaling Jaya.
Penyertaan pakar dari Itali, China, dan Indonesia membolehkan pertukaran idea dan amalan terbaik serantau, seterusnya memperkukuh peranan Petaling Jaya sebagai bandar mesra kanak-kanak bertaraf antarabangsa.






