AMPANG JAYA, 20 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) komited memudahkan urusan penjaja dan peniaga mikro dengan memastikan permohonan lesen perniagaan di lokasi yang dibenarkan dapat diluluskan dalam tempoh kurang 14 hari.
Timbalan Yang Dipertuanya, Ts Hasrolnizam Shaari berkata inisiatif itu selaras usaha mempercepatkan proses pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus menyokong pembangunan ekonomi setempat.
“Kami di MPAJ memang mengutamakan perkara ini. Kita melihat peniaga-peniaga yang berada di MPAJ ini sebagai prospek untuk diangkat dan diberikan peluang serta keterjaminan sehingga ke peringkat lebih tinggi.
“Kita akan lihat apa saja ruang untuk kita bantu. Antaranya menyediakan lebih banyak lokasi untuk mereka berniaga. Tidak kurang 3,000 hingga 5,000 peniaga di bawah MPAJ.
“Lesen memang kita benarkan dengan mudah. Kalau mereka berada di tempat yang betul, aktiviti yang dibenarkan dan bersesuaian kita bagi jaminan boleh diluluskan kurang 14 hari. Tapi kalau tempat tidak dibenarkan atau tidak sesuai, kita tidak tolak terus, kita akan teliti terlebih dulu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ, hari ini.

Beliau berkata MPAJ turut melaksanakan inisiatif memudah cara perniagaan (ease of doing business) pada tahun lalu melibatkan syarikat Texas Instrument (Malaysia) Sdn Bhd (TIM) di Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Hulu Kelang.
“Ketika itu, tindakan penyelesaian awal bagi isu-isu tanah dan teknikal diselesaikan melalui beberapa sesi prarundingan khas melibatkan agensi-agensi teknikal seperti Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan pelbagai lagi.
“Selepas itu, pelan pembangunan (Pelan Kebenaran Merancang, Pelan Kerja Tanah, Pelan Jalan dan Perparitan, Pelan Bangunan dan Pelan Landskap) secara serentak dikemukakan kepada pihak MPAJ, seterusnya mengurangkan tempoh kelulusan pembangunan iaitu dalam tempoh 30 hari.
“Inisiatif ini adalah sama seperti dasar Speed Selangor yang diperkenalkan untuk mempercepat kelulusan dan menarik pelabur bagi projek berimpak tinggi,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 berkata Kerajaan Negeri komited meneruskan Reformasi PBT melalui penyeragaman proses permohonan permit dan lesen berisiko rendah seperti ubah suai rumah serta permit perniagaan sementara terpilih.
Bagi fasa pertama, reformasi akan memberi fokus kepada dua perkhidmatan utama iaitu permit ubah suai kediaman dan lesen penjaja, yang mana tempoh pemprosesannya akan disingkatkan daripada 30 hari kepada 14 hari bekerja demi memberi kelegaan dan kepastian kepada penjaja kecil serta usahawan mikro yang menjadi nadi ekonomi tempatan.


